25 Mac 2014

Hukuman mati ke atas 529 anggota Ikhwan terus dikutuk

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk sekeras-kerasnya mahkamah di Mesir yang menjatuhkan hukuman mati kepada 529 penyokong bekas presiden Islamis Dr Mohammed Morsi kelmarin.

“Keputusan ini merupakan hukuman mati kolektif yang terbesar dalam sejarah moden Mesir.

“Ia bukan sahaja menghukum mati kumpulan yang didakwa bersalah akan tetapi merupakan hukuman mati ke atas demokrasi dan keadilan,” ujar Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan sebagaimana di bawah.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk sekeras-kerasnya mahkamah di Mesir yang menjatuhkan hukuman mati kepada 529 penyokong bekas presiden Islamis Dr Mohammad Morsi kelmarin.

Keputusan ini merupakan hukuman mati kolektif yang terbesar dalam sejarah moden Mesir. Ia bukan sahaja menghukum mati kumpulan yang didakwa bersalah akan tetapi merupakan hukuman mati ke atas demokrasi dan keadilan.

Pendakwaan sepatutnya dikenakan ke atas pegawai tentera yang bertindak mengarah pembunuhan ke atas rakyat awam yang berdemonstrasi menentang kudeta.

Kami yakin hukuman yang dijatuhkan ke atas mereka adalah atas arahan tentera dan ia merupakan suatu konspirasi menyeluruh untuk menghapuskan gerakan Ikhwan Muslimin di Mesir sekaligus membunuh demokrasi yang dituntut oleh rakyat Mesir.

Setakat ini Ikhwan Muslimin adalah satu-satunya gerakan yang boleh menggugat kuasa tentera. Gerakan itu berjaya memimpin rakyat menentang kudeta tentera merampas kuasa yang menggulingkan Dr Mohammad Morsi sebagai Presiden Mesir yang sah dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya yang bebas pada 2012.

Sudah dijangka Ikhwanul Muslimin yang diharamkan oleh regim tentera menjadi sasaran. Dalam usaha tentera mengekang kebangkitan rakyat, rakyat tetap tidak berganjak. Sejak Julai tahun lalu  sehingga kini rakyat terus melancarkan penentangan terhadap  kezaliman regim yang merampas kuasa rakyat.

Rakyat Mesir berhak untuk bangkit menentang regim tentera yang bertindak zalim menahan ribuan orang awam dan membunuh ratusan lagi.

Jelas perbicaraan itu adalah bertujuan hanya sebagai proses formaliti untuk mengabsahkan tindakan tentera padahal peguam defendan mengadu tiada peluang untuk membentangkan kes mereka. Para hakim tidak membenarkan hujah balas dan peguam defenden tidak pun dipanggil untuk berhujah bagi pihak mereka yang dituduh.

Perbicaraan itu dilaksanakan di mahkamah yang tidak bebas malah di bawah telunjuk tentera untuk memastikan penentang regim tentera itu dihapuskan. Mahkamah Mesir telah diperalat oleh pemerintah tentera untuk bertindak ke atas anggota Ikhwan dan semua penentang regim tentera itu.

Kesan keputusan mahkamah ini dan bakal diteruskan ke atas ratusan lagi dalam senarai tentera, akan pasti mencetuskan  kebangkitan rakyat bukan sahaja di Mesir malah diseluruh negara-negara Asia Barat. Ia membawa implikasi besar kepada revolusi dan kebangkitan rakyat Arab yang tercetus sejak awal 2011.

Gerakan Ikhwan Muslimin dikambinghitamkan oleh regim yang mengambil alih kuasa bagi memastikan kelompok Islam tidak berpeluang menampilkan alternatif kepada regim sebelumnya yang ditumbangkan oleh Arab Spring.

Dalam analisis global, pihak Barat sememangnya tidak mahu kebangkitan rakyat Arab berakhir dengan kuasa beralih ketangan kelompok Islam. Lantaran itu tidak mengejut segala tindakan menindas kelompok Islam terutama gerakan Ikhwan Muslimin tidak didukung oleh kuasa Barat walaupun atas nama hak demokrasi rakyat Mesir. Sebab itu tindakan regim tentera tidak dikecam oleh kuasa Barat walaupun jelas ia melanggar hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa serta hak demokrasi rakyat Mesir.

Hukuman yang tidak pernah berlaku seumpama ini pasti akan merangsang regim yang lain yang masih berkuasa seperti di Arab Saudi, Kuwait dan UEA akan turut mengambil langkah yang sama untuk bertindak menghapuskan sebarang anasir Ikhwan Muslimin yang bergerak di negara-negara tersebut.

Masyarakat antarabangsa  tidak boleh bersikap hipokrit dengan membisu ke atas keputusan mahkamah tersebut. Keputusan menjatuhkan hukuman mati  ke atas mereka adalah keputusan politik semata-mata bukan keputusan keadilan.

Kami menuntut agar keputusan mahkamah itu dibatalkan dan kedudukan  Presiden Republik diserah kembali kepada Dr Mohammad Morsi yang pilih rakyat dengan sah.

Kami menggesa seluruh gerakan Islam di dunia mengutuk keputusan mahkaman tersebut dan menuntut supaya mereka yang didakwa diberi peluang membela diri dengan adil atau dibebaskan.

Keputusan ini hendaklah disanggah di peringkat antarabangsa seperti yang dilakukan ke atas Perdana Menteri Bangladesh Syeikh Hasina yang menggunakan mahkamah tribunal yang tidak diterima oleh antarabangsa untuk menghukum mati pemimpin Jamaat Islami.

Kami juga menggesa suatu persidangan gerakan Islam sedunia diadakan segera untuk menentukan tindakan ke atas kerajaan tentera yang tidak sah di Mesir itu dan menuntut ia menghentikan kezaliman, penindasan dan pelanggaran hak asasi manusia yang dihidupkan kembali selepas revolusi 2011.
HARAKAHDAILY

PAS ucap takziah kepada keluarga mangsa MH370

KUALA LUMPUR: PAS Pusat merakamkan ucapan takziah terhadap keluarga mangsa pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) yang disahkan hilang di lautan Hindi dan mengharapkan mereka tabah dan sabar menghadapi ujian Allah SWT.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub(gambar) ketika dihubungi Harakahdaily berkata, PAS memahami dan turut merasai kesedihan yang dialami keluarga mangsa dan berdoa moga mereka diberi kekuatan oleh Allah SWT.
Pengerusi Pusat Pengurusan Bencana dan Kecemasan PAS Pusat itu juga menyeru umat Islam untuk mengadakan solat jenazah ghaib berdasarkan saranan yang bakal dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan.
Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa kedudukan terakhir pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia dikesan di tengah Lautan Hindi di sebelah barat Perth, Australia.
Maklumat berhubung lokasi terakhir pesawat yang hilang sejak 17 hari lalu itu diterima menerusi data Immarsat dan Bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) yang mengesahkan pesawat Boeing 777-200 itu terbang ke jalur selatan isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu, umum Najib.
"Ini kawasan yang terpencil, jauh daripada mana-mana tapak pendaratan yang munasabah. Oleh itu, dengan rasa penuh dukacita dan kesal, saya memaklumkan bahawa, berdasarkan kepada data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib.
MAS dalam kenyataannya menyebut, berdasar maklumat yang diterima, adalah melewati sebarang keraguan yang munasabah bahawa semua penumpang dan krew pesawat berkenaan terkorban.
Pesawat penerbangan MH370 membawa 239 orang, termasuk 38 penumpang dan 12 anak kapal warga Malaysia. Operasi mengesan pesawat ini digerakkan sejak ia hilang pada awal pagi 8 Mac lalu dan disertai oleh lebih 20 buah negara.  
HARAKAHDAILY

MH370 Berakhir Di Selatan Lautan Hindi - Najib


KUALA LUMPUR,  Selepas 17 hari menunggu dengan penuh debaran, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengumumkan bahawa penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Najib membuat pengumuman itu berdasarkan hasil analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit yang menunjukkan koridor utara dan selatan.

"Menggunakan sejenis analisis yang belum pernah digunakan sebelum ini dalam siasatan seperti ini, mereka mampu memberi beberapa petunjuk lebih jelas mengenai laluan penerbangan MH370.

Berdasarkan analisis baharu mereka, Inmarsat dan AAIB merumuskan bahawa MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

"Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang tempat pendaratan. Oleh itu dengan perasaan amat sedih dan terharu saya ingin memaklumkan bahawa menurut data terkini, Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Perdana Menteri berkata Malaysia Airlines telahpun memaklumkan kepada anggota keluarga penumpang dan anak kapal mengenai perkembangan itu.

"Bagi mereka, beberapa minggu lepas merupakan tempoh yang memilukan, saya sedar berita ini akan lebih menyedihkan lagi. Saya menggesa pihak media menghormati privasi mereka dan memberikan mereka ruang yang diperlukan di saat-saat sukar seperti ini," kata Najib.

Beliau berkata maklumat lanjut berhubung perkembangan ini akan diumumkan esok.

Najib berkata sidang akhbar yang tidak dijadualkan malam ini diadakan bagi memaklumkan kepada dunia mengenai perkembangan baharu itu dengan secepat mungkin.

"Kami berkongsi maklumat ini kerana kami komited kepada sikap terbuka dan menghormati anggota keluarga terbabit, dua prinsip yang menjadi amalan dalam siasatan ini," katanya. Turut hadir Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Ketua pegawai eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya yang juga hadir pada sidang akhbar berkenaan kelihatan menitiskan air mata ketika pengumuman itu dibuat.

Ketika pengumuman itu dibuat, ramai wartawan yang mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 turut menitiskan air mata.

Pesawat malang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Usaha mencari dibahagikan kepada dua koridor iaitu koridor utara yang menganjur dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke sebelah utara Thailand, manakala koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Operasi SAR MH370 disifatkan sebagai yang terbesar seumpamanya dalam sejarah membabitkan lebih 27 negara.

-- BERNAMA

MH370:Kenyataan PM Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR, -- Berikut ialah kenyataan akhbar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkembangan terkini penerbangan MH370 yang hilang.

Malam ini saya diberi taklimat oleh wakil-wakil dari Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB).

Mereka memberitahu saya bahawa Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit meliputi koridor utara dan selatan, telah melakukan pengiraan lanjut terhadap data itu.

Dengan mengggunakan kaedah analisis yang belum pernah digunakan dalam sesuatu penyiasatan seumpama ini, mereka telah berjaya membuat pencerahan mengenai laluan penerbangan MH370.

Berdasarkan analisis baharu mereka, Inmarsat dan AAIB telah membuat kesimpulan bahawa MH370 terbang melalui koridor selatan, dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

Ini merupakan lokasi yang terpencil, jauh dari sebarang lokasi pendaratan. Justeru itu dengan perasaan sedih dan kesal yang amat sangat, saya perlu memaklumkan anda bahawa menurut data baharu ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Kami akan mengadakan sidang akhbar esok untuk memaklumkan butiran lanjut.

Sementara itu kami ingin memaklumkan anda mengenai perlembangan terbaharu ini dalam kadar segera.

Kami berkongsi maklumat ini atas dasar komitmen kami terhadap keterbukaan dan perasaan hormat kepada seluruh keluarga, dua prinsip yang menjadi panduan penyiasatan ini.

Malaysia Airlines sudah pun memaklumkan kepada semua keluarga penumpang dan anak kapal untuk memberitahu mereka perkembangan ini.

Bagi mereka dua minggu yang berlalu cukup memeritkan; saya sedar bahawa berita ini akan lebih sukar lagi. Saya menggesa pihak media supaya menghormati privasi mereka dan memberi mereka ruang menghadapi situasi getir ini.

-- BERNAMA

KELANTAN TV by Serambi Media Network

LIVE Sidang Dewan Rakyat

LIVE BOLASEPAK KELANTAN


Video streaming by UstreamHakcipta Terpelihara © 2013 Perbadanan Stadium Kelantan
PERINGATAN: tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.