07 Julai 2011

Liga Super: Nik Aziz utus tahniah dari tanah suci


Nazri Abdullah   
KUALA LUMPUR, 7 Julai: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak negeri itu, The Red Warriors yang
 menjuarai Liga Super 2011.
Kejuaraan itu disahkan selepas anak
 didik Datuk M Karathu itu memalukan
 Sabah di hadapan penonton sendiri
 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu
 malam tadi.
"Saya mengucapkan tahniah kepada
 pasukan bola sepak Kelantan di atas
 kejayaan menjuarai Liga Super setelah menewaskan pasukan Sabah pada
 malam ini.
"Rakyat Kelantan bangga dengan
 kejayaan ini, terima kasih," katanya
yang mengirim ucapan itu melalui Twitter
 malam tadi.
Nik Aziz yang juga Mursyidul AM PAS kini berada di tanah suci Makah menunaikan ibadah umrah
 dan dijangka akan kembali ke tanah air 10 Julai ini.
Sementara itu, kedua-dua gol kemenangan Kelantan malam tadi itu dijaringkan peledak utama
 Red Warriors, Noorshahrul Idlan Talaha pada minit ke-5 dan ke-71.
Bagaimanapun Kelantan cemas seketika apabila Sabah bangkit memberi tentangan dengan
 memperoleh gol menerusi Razlan Otoh, minit ke-76.
Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat biarpun Sabah membuat asakan bertali arus menuju
 masa kecederaan untuk memburu gol penyamaan.
Gawang Kelantan dikawal kemas Khairul Fahmi Che Mat.
Kemenangan pada perlawanan terakhir semalam membolehkan Kelantan mengumpul 56 mata
 dan tidak mampu dicabar Selangor (52) dan Terengganu (53).
Sebaliknya Selangor menutup saingan musim ini dengan penuh kehampaan, apabila bukan
sahaja gagal memintas Kelantan, sebaliknya tercicir ke tangga ketiga selepas seri tanpa jaringan
 dengan Perak di Stadium Perak, Ipoh.
Kedudukan naib juara pula menjadi milik Terengganu apabila berpesta gol dengan membelasah
Felda United 6-2 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Negeri Sembilan menutup saingan musim ini dengan kemenangan 2-0 ke atas Perlis di
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi hasil jaringan Ahmad Fakri Sharani minit ke-36 dan
 Shahurain Abu Samah minit ke-59.
Kedah menamatkan saingan di tangga keempat selepas menang 1-0 ke atas pasukan
 kedua tercorot, Pahang di Stadium Darulmakmur, Kuantan menerusi jaringan tunggal
 Mohd Fiqri Md Isa minit ke-69.
HARAKAHDAILY

Elektrik: Syarikat IPP diutamakan, rakyat diketepikan

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Senator Pakatan Rakyat mempersoal tindakan kerajaan menaikkan
 tarif elektrik sebelum selesai semakan semula terma-terma perjanjian pembelian tenaga
 (power purchase agreement-PPA) dengan pihak penjana tenaga bebas (IPP).
Salah satu inisiatif semakan semula terma-terma PPA ini yang dijangka akan dimuktamadkan
 pada tahun ini adalah untuk mengurangkan keuntungan pihak IPP menerusi pengurangan
 bayaran yang akan mengurangkan kadar kapasiti yang dikenakan ke atas pihak TNB oleh
 pihak IPP.
Senator Mumtaz Md Nawi dari PAS berkata, inisiatif ini menunjukkan kerajaan sedar terlalu
 banyak keuntungan yang diperoleh IPP namun dalam masa yang sama terus membebankan
 rakyat dengan menaikkan tarif elektrik.
"Maknanya kerajaan sedar terlalu banyak keuntungan yang diperoleh IPP tapi mereka naikkan
 tarif (elektrik) sedangkan mereka boleh tunggu sampai akhir tahun, dah habis bincang dengan
 IPP baru naikkan tarif.
"Bila kerajaan bincang dengan IPP sejauh mana mereka akan bertolak ansur kerana apa yang
 paling penting rakyat patut diutamakan," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Mumtaz dalam soal jawab lisan di Dewan Negara meminta Menteri Tenaga,
 Teknologi Hijau dan Air menyatakan siapakah pemilik Penjana Tenaga Bebas (IPP) serta
 status rundingan dengan IPP bagi meminda terma perjanjian untuk mengurangkan bebanan
 rakyat dan jumlah pendapatan yang dijana oleh IPP dari mula ditandatangani sehingga 2010
 dan sumbangan kewangan langsung dari IPP terhadap rakyat dalam tempoh tersebut.
Menteri dalam jawapannya memberitahu sebanyak 14 syarikat IPP yang telah diluluskan lesen
 untuk beroperasi di Semenanjung Malaysia antaranya TNB Janamanjung di Perak,
 Genting Sanyen Power Sdn Bhd, Port Dickson Power Bhd dan
Teknologi Tenaga Perlis Consortium Sdn Bhd.
Kerajaan juga bersetuju untuk menyemak semula terma-terma PPA dengan pihak IPP yang
 merupakan sebahagian daripada inisiatif penstrukturan semula industri bekalan elektrik.
Ekoran jawapan tersebut, Mumtaz berkata, kerajaan lebih mementingkan 14 syarikat tersebut
 yang menjana pendapatan sebanyak RM107 billion daripada tahun 1996 hingga 2010  dan
 mengenepikan kepentingan rakyat.
"Terma apa yang dipinda? Ia mesti ada terma-terma yang nak dipinda dan bilakah ianya akan
 dipinda? Kenapa ianya tidak dipinda sebelum kerajaan menaikkan sebarang tarif elektrik?
"Yang terlibat dengan IPP ialah 14 buah syarikat tetapi yang menerima kesan daripada
peningkatan tarif elektrik ialah rakyat kira-kira 27 juta," katanya yang juga
 Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.
Mumtaz turut mendakwa kejadian blackout semakin kerap berlaku meskipun kerajaan
 berkata IPP diperkenalkan untuk menstabilkan sistem pembekalan elektrik daripada
 mengalami gangguan seperti brownout atau blackout.
Menteri juga memberitahu, pihak IPP diminta untuk menyumbang 1 peratus daripada jumlah
 hasil tahunan yang telah diaudit dengan mengambil kira kos bahan bakar bagi tahun
sebelumnya kepada Dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE).
Tambah Mumtaz juga, kerajaan seharusnya menjelaskan nilai sebenar 1 peratus itu.
"Dalam kes ini berapakah nilai sebenar kerana sepatutnya mereka boleh mengemukakan
 nilai sebenar keuntungan bersih oleh IPP.
"Hari ini selepas tarif elektrik dinaikkan kita lihat kes-kes melibatkan blackout masih lagi
 berterusan dan makin banyak dan ini tidak mencapai target sedangkan IPP mendapat
 untung yang besar.
"Jumlah yang diminta 1 peratus satu kenyataan yang longgar. Sepatutnya jumlahnya yang
 kita nak tahu. Seolah-olah kerajaan terpaksa mengemis dengan IPP," katanya.
Menteri memberitahu, jumlah sumbangan terkumpul yang telah diterima oleh AAIBE sejak
 ditubuhkan pada tahun 1997 hingga kini adalah sebanyak RM 929,798,911.80.
Cukai luar biasa
Sementara itu, Senator Dr Syed Husin Ali dari PKR dalam sidang media sama mencadangkan
 kerajaan mengenakan cukai luar biasa ke atas IPP sementara menunggu kajian PPA ini selesai.
"Sekarang kerajaan nak kaji soal PPA dengan IPP dan sementara tunggu keputusan sepatutnya
 kerajaan boleh mengenakan cukai luar biasa (ke atas IPP)yang boleh dilakukan mengikut
undang-undang kerana kita tak tahu bila kabinet akan buat keputusan.
"Kita harap akan disegerakan dan mesti diadakan cukai luar biasa kerana keuntungan IPP itu
 terlalu besar dan tidak digunakan untuk kepentingan rakyat terbanyak," kata bekas timbalan
 presiden PKR itu.

Hazayani Zakaria  

05 Julai 2011

Peniaga dedah jadi mangsa percaturan persatuan

 

Salmah Mat Husain   
KOTA BHARU, 5 Julai: “Kami menjadi mangsa percaturan persatuan. Kami kesal sangat dan
 tak sangka dipermainkan persatuan sendiri.
”Tapi kesal pun dah tak berguna dah sekarang. Begitu setia kami kepada persatuan ketika itu.
 Ketika diminta kerajaan negeri membuat pendaftaran awal kami enggan kerana mengikut
arahan persatuan.
“Sedangkan ada orang kuat Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB senyap-senyap daftar,”
dedah seorang peniaga ketika ditemui di Bazar Tok Guru.
Isu Bazar Tok Guru menjadi kalut apabila Umno Kota Bharu dan Kelantan bertengek di situ
 kononnya mahu membela persatuan dengan menghodohkan kerajaan negeri.
Lebih setahun kerajaan negeri dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menjadi
 mangsa kritikan media massa yang dekat dengan Umno.
Kemuncaknya Umno Kota Bharu di bawah Datuk Fatmi Che Salleh mencetak risalah dikenali
 sebagai Khabar dan diedar di masjid-masjid bagi menghentam kerajaan negeri.
Sedangkan nasib peniaga tetap dibela kerajaan negeri apabila mengurangkan harga asal
 daripada RM88,000 kepada RM65,000 di tingkat bawah dan satu.
Malah peniaga juga diberi kelonggaran berniaga secara percuma selama setahun di tingkat
 bawah dan dua tahun di tingkat satu.
Peniaga terbabit mendedahkan lagi kerana percayakan persatuan mereka tidak mengindahkan
 kemudahan ditawar kerajaan negeri untuk mendaftar lebih awal.
Rungutan serupa juga disuarakan beberapa lagi peniaga. Tanpa mahu mendedahkan nama
 mereka sekarang seperti sesal tak sudah.
Sebahagian peniaga membuka kedai mereka mulai semalam. Selain ada juga peniaga sibuk
 memunggah barang ke dalam lot kedai.
Biar pun sibuk mengemas dan menyusun barangan jualan, semakin ramai pelanggan datang
 membeli-belah.
Bazar Tok Guru dijangka menjadi tumpuan ramai apabila berlangsung Ekspo masakan Cheng Ho
 (Kelantan Chengho International Food Festival 2011 - Kelchef). Program bertaraf antarabangsa
 itu pertama kali diadakan di negara ini, dianjurkan kerajaan Kelantan.
Kelchef akan diadakan bermula 14 hingga 23 Julai ini berhampiran Bazar Tok Guru. Tahun lepas
 kerajaan negeri menganjurkan Ekspo Cheng Ho di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke IV.
Seorang lagi peniaga, Sarina Abdul Rashid, 35, ketika ditemui berharap rezeki mereka bertambah
di tempat baru terutama ketika berlangsung Kelchef.
“Pelanggan tak ramai lagi kerana tempat baru. Saya minta kerajaan negeri terus mempromosikan
 tempat ini.
“Kita juga berharap perasmian tempat ini diadakan sekali dengan solat hajat yang amalan biasa
 bagi umat Islam,” ujarnya.
Zuraidah Ishak, 53, tersenyum pada hari kedua berniaga di Bazar Tok Guru kerana pelanggan
 mula datang.
Rosnani Yusof, 35, pula mencadangkan PMBK membina peneduh tambahan bagi menghalang
 tempias apabila hujan lebat. Selain itu dibina pagar di setiap tangga bagi memudahkan warga
 emas dan kanak-kanak turun naik.

04 Julai 2011

Kelantan sasar 5.8j pelancong



KOTA BHARU - Dijangka 5.8 juta pelancong dari dalam dan luar negara akan mengunjungi Kelantan tahun ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kedatangan pelancong dijangka meningkat berbanding 5.3 juta tahun lalu, memandangkan tarikan yang ada di negeri ini. 

“Kelantan destinasi yang tidak asing lagi bagi pelancong, kerana ikon sebagai syurga makanan yang dimiliki selain seni budaya dan warisan terunggul yang dimiliki,” katanya selepas merasmikan Pesta Nasi 100 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, kelmarin. 

Menurutnya, pesta makanan itu termasuk dalam komponen utama carnival seni budaya dan makanan negeri Kelantan. 

“Pesta Nasi 100 ini merupakan acara tahunan yang akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri,” katanya. 

Menurutnya, Nasi 100 mempunyai dua erti iaitu merujuk kepada 100 jenis nasi dan yang kedua melibatkan 100 jenis bahan ramuan yang digunakan untuk menjadikan nasi lebih enak serta berkhasiat untuk dinikmati. 

Takiyuddin berkata, pesta kali ini mendapat sambutan menggalakkan pelbagai pihak termasuk hotel bertaraf lima bintang, pemilik- pemilik restoran dan individu yang mahir dalam bidang masakan. 

“Selain itu, kerajaan negeri dalam rangka menghidupkan kembali Tahun melawat Kelantan bermula tahun hadapan selepas hampir tiga tahun dihentikan, dan kita mengharapkan agar ia menjadi penyumbang kepada usaha kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini,” katanya

info .Interaktif Bunut Payong

03 Julai 2011

Kenyataan Media: Isu Tanah Tapak Stesen Teksi Pasir Puteh

KENYATAAN MEDIA

LAPORAN BERITA BERNAMA.COM SABTU 2 JULAI 2011,
RADIO KELANTAN FM SABTU 2 JULAI 2011 DAN
AKHBAR SINAR HARIAN AHAD 3 JULAI 2011.

Merujuk kepada laporan berita bertajuk “PM Janji Beri Pejabat Baru Untuk Persatuan Kereta Sewa Pasir Puteh”yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Bernama.com yang bertarikh 2 Julai 2011, Sabtu, laporan berita bertajuk “PM Janji Hentian Teksi Baru” yang dikeluarkan oleh akhbar Sinar Harian Bil 1751 Ahad 3 Julai 2011 di muka surat K18, laporan berita radio Kelantan FM pada 2 Julai 2011, Sabtu, adalah dimaklumkan bahawa laporan berita adalah tidak benar dan berniat buruk serta menjatuhkan maruah Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan PKINK.

2.         Pihak Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dengan ini menegaskan bahawa tidak berlaku sebarang penjualan ke atas tanah tersebut pada masa ini kepada mana-mana pihak sebagaimana yang dilaporkan.  Dengan demikian, tidak timbul sama sekali isu bahawa Kerajaan Kelantan merampas tanah tersebut dan menjual kepada syarikat swasta sebagaimana yang dilaporkan dan tanah tersebut masih menjadi hakmilik PKINK.

3.         Pihak PKINK juga pada masa ini terus membenarkan Persatuan Pemandu Teksi untuk menggunakan tapak tersebut sebagai perhentian teksi.

Sehubungan dengan itu, PKINK dengan ini menuntut kepada BERNAMA, Sinar Harian dan Radio Kelantan FM supaya-

i.             Memohon maaf secara bertulis dan terbuka kepada PKINK dengan menyiarkan di muka hadapan BERNAMA.Com, muka hadapan Sinar Harian dan tajuk utama berita radio Kelantan FM;

ii.           Menarik balik berita sebagaimana yang disiarkan berkaitan perkara tersebut dan membuat pembetulan sebagaimana kenyataan dalam Perenggan 2 di atas.

Sekian, terima kasih.


MOHD SABRI BIN ABDULLAH
KETUA EKSEKUTIF KUMPULAN
PERBADANAN KEMAJUAN IKTISAD NEGERI KELANTAN
BERTARIKH: 1 SYAABAN 1432/ 3 JULAI 2011

TAPAK STESYEN TEKSI PASIR PUTEH TIDAK PERNAH DIJUAL: KENYATAAN PM SALAH MAKLUMAT. - DATO HUSAM MUSA


Saya merujuk kepada kenyataan YAB Perdana Menteri Malaysia di Pasir Puteh pagi ini.

Saya selaku anggota Kerajaan Negeri terkejut dengan dakwaan YAB Perdana Menteri bahawa tapak stesyen teksi Pasir Puteh yang beroperasi sekarang telah dijual oleh PKINK. Selain itu, kenyataan beliau juga menyebut tapak itu telah dirampas oleh Kerajaan Negeri melalui PKINK.

Kenyataan Perdana Menteri tersebut tidak berasas sama sekali.

PKINK pada sebarang masa tidak pernah menjual tapak berkenaan, bahkan disediakan percuma untuk perkhidmatan teksi di Pasir Puteh. Walaupun sebelum ini, PKINK mengenakan sedikit bayaran ke atas persatuan pemandu teksi Pasir Puteh, tetapi kini, bagi tujuan kebajikan ahli persatuan tersebut, PKINK tidak mengenakan sebarang bayaran.

Apa yang berlaku ialah ada pihak tertentu pernah memohon untuk membeli tapak berkenaan bagi kemudiannya diserahkan kepada pihak lain untuk dimajukan tetapi permohonan tersebut telah ditolak oleh PKINK bagi mengekalkan kedudukan tapak teksi tersebut.

YAB Perdana Menteri atau sesiapa sahaja boleh menunjukkan bukti atas dakwaan mereka. Sudah tentu Perdana Menteri tidak mampu berbuat demikian kerana isu ini adalah modal atas angin semata-mata.

Selaku rakyat Malaysia, saya merasa malu atas salah maklumat yang disampaikan kepada pemimpin terpenting negara ini sehingga YAB Perdana Menteri menyebut sesuatu yang tidak berasas dalam ucapan beliau.

Saya menggesa agar Perdana Menteri menyemak pihak yang telah memberikan maklumat tidak bertapis seperti itu bagi mengelakkan kenyataan yang sama berulang, yang boleh menjejaskan kredibiliti beliau.

Selain itu, ia juga menunjukkan Barisan Nasional tidak mempunyai isu besar yang boleh dibangkitkan sehingga maklumat tidak berasas pun terpaksa dijadikan modal.

Saya yakin, jika Perdana Menteri sanggup menggunakan maklumat atas angin seperti itu, tentulah dalam isu yang lain juga beliau mudah membeli maklumat bakul sampah, termasuk dalam isu himpunan menuntut pilihanraya yang bersih dan adil pada 9 julai ini.

Isu yang lebih besar seperti rampasan wang royalti minyak Kelantan tidak pula disebut. Isu-isu janji pilihanraya Pengkalan Pasir, Manek Urai dan Galas yang belum selesai juga tidak disebutkan.

Saya yakin Kerajaan Negeri bersedia memberikan tapak berkenaan untuk dimajukan dengan kemudahan yang lebih baik jika kerajaan pusat serius untuk memajukannya.

Mengenai kononnya majlis Perdana Menteri di Pasir Puteh dihadiri oleh puluhan ribu rakyat jelata, amat malang kerana lawatan yang penting seperti itu hanya dimeriahkan oleh kerahan paksa pelajar sekolah dan kakitangan kerajaan. Buktinya, semuanya 'dipakaikan' baju merah yang dibekalkan terlebih dahulu. Tidak ada tanda kedatangan sukarela atas pilihan sendiri tetapi datang 'berjemput' siap 'beruniform'.

Lebih menggelikan hati bila bangunan rasmi pejabat kerajaan persekutuan di Wisma Persekutuan telah 'ditawan' oleh Barisan Nasional dengan dipenuhi oleh bendera parti itu.

Ternyata, kedatangan Perdana Menteri telah mencemarkan lagi konsep pemisahan antara parti dan kerajaan dan jika inilah sikap BN yang terus menggunakan premis, harta dan jentera kerajaan untuk kepentingan parti mereka tanpa segan silu, ia perlu terus ditolak oleh rakyat yang cintakan amalan politik yang telus, bersih, amanah dan amalan politik kepartian yang melampau.

Sekian, terima kasih.


Dato’ Haji Husam Musa
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan
Naib Presiden , Parti Islam SeMalaysia (PAS)

1 Sya'aban 1432
2 Julai 2011

KELANTAN TV by Serambi Media Network

LIVE Sidang Dewan Rakyat

LIVE BOLASEPAK KELANTAN


Video streaming by UstreamHakcipta Terpelihara © 2013 Perbadanan Stadium Kelantan
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Serambi Media Network (Kelantan TV News). Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman