28 Oktober 2011

PIKET - MTUC Akan Anjur Piket Di 16 Lokasi Seluruh Negara Bantah Pindaan Akta Kerja

 
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan menganjurkan piket di 16 lokasi seluruh negara pada 3 November ini bagi membantah pindaan terhadap Akta Kerja 1955.
  
Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor berkata piket itu akan diadakan di enam lokasi di Selangor serta setiap satu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Kelantan, Johor, Kedah dan Sabah.
  
"MTUC sendiri ada 800,000 ahli dan ada 5.7 juta pekerja seluruh Malaysia, kita harap pekerja seluruh Malaysia sertai kita dan dapat 'good crowd' hari itu," katanya dalam sidang media di Wisma MTUC di Petaling Jaya hari ini yang turut dihadiri presiden MTUC, Mohd Khalid Atan.
  
Pada 6 Oktober lepas, Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011 diluluskan Dewan Rakyat selepas melalui sesi perbahasan lebih lima jam. Rang undang-undang itu dibacakan untuk kali kedua oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam.
  
Pindaan akta itu akan membolehkan pemantauan dan pengawalan agensi pembekal tenaga buruh yang lebih sistematik, terutama di kawasan terpencil.
  
Abdul Halim berkata piket itu akan berlangsung antara jam 5 petang dan 6.30 petang dan sebanyak 100,000 risalah akan diedarkan serta 41 kain rentang akan dibawa sepanjang piket itu berlangsung di seluruh negara.
  
Katanya MTUC akan menyerahkan surat kepada Ketua Polis Negara bagi memaklumkan tujuan dan lokasi piket itu diadakan sambil menegaskan piket itu akan berlangsung secara aman.
  
"Kita sudah serah surat kepada Perdana Menteri minggu lepas supaya akta itu dapat ditarik balik dan dibincangkan semula dengan pekerja," katanya.
  
Beliau berkata isu terbesar mengenai pindaan akta itu ialah wujudnya kontraktor tenaga kerja di mana ini membolehkan majikan 'mengupah' kontraktor itu memberikan tenaga kerja kepada majikan itu.
  
Katanya sistem itu membuatkan pekerja itu bekerja untuk kontraktor itu bukan majikan tersebut menyebabkan majikan tidak mempunyai tanggungjawab secara terus menjaga kebajikan pekerja terutamanya melibatkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
  
"Bila seorang pekerja ditimpa kemalangan ketika bekerja bagaimana dengan pampasannya, ini amat merumitkan kerana pekerja tidak bekerja dengan majikan tetapi buat kerja untuk majikan itu," katanya.
  
Abdul Halim berkata selain itu, pindaan terhadap pekerja separuh masa, cara menetapkan masa kerja pekerja wanita, masa pembayaran berbeza antara gaji dan elaun serta prosedur pengurusan kes gangguan seksual turut "merisaukan" MTUC.
  
"Jika dilihat pindaan ini boleh memudahkan pekerja ditindas dan dianiaya terutamanya oleh kontraktor tenaga kerja, kita mahu menyelesaikan isu ini secara domestik terlebih dahulu, kita tidak mahu bawa ini ke peringkat antarabangsa buat masa ini," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan:

KELANTAN TV by Serambi Media Network

LIVE Sidang Dewan Rakyat

LIVE BOLASEPAK KELANTAN


Video streaming by UstreamHakcipta Terpelihara © 2013 Perbadanan Stadium Kelantan
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Serambi Media Network (Kelantan TV News). Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman