25 November 2011

Angkasawan Negara

 
Bersama Angkasawan Negara dan Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan
 
Hari: Jumaat
Masa: 9 malam
Tarikh: 25 Nov 2011
Tempat: Kelantan Trade Center ( KTC )

23 November 2011

Empat peragut berputih mata


PASIR MAS – Empat peragut berputih mata apabila cubaan ragut dan samun yang dilakukan ke atas seorang warga emas gagal, setelah mangsa bertindak nekad menghalang suspek daripada mengambil wang hasil jualan, kira-kira jam 1.15 petang, Ahad lalu.

Mangsa yang juga penjaja telur, Ibrahim Mamat, 61, sempat menyelamatkan beg pinggang yang berisi RM3,000 hasil jualan telur di sekitar Kubang Kerian, namun tercedera akibat mengelak daripada disamun.

Ibrahim berkata, kejadian bermula apabila dia yang berada berdekatan lori miliknya, didatangi dua lelaki manakala dua lagi rakan suspek menunggu dalam Proton Iswara berwarna hijau.

“Seorang daripada suspek membuka pintu lori dan berpura-pura bertanya mengenai jualan telur, namun sejurus kemudian bertindak ganas dengan meragut beg yang dililit di pinggang.

“Manakala seorang lagi rakannya menyerang saya dari arah belakang, seterusnya bertindak menikam di belakang badan,” katanya ketika ditemui di Kampung Banggol Petaling, semalam.

Ibrahim yang turut tercedera di tangan kiri akibat mengelak daripada terus dicederakan peragut berkata, dia terus menjerit dan meminta pertolongan orang ramai.

Dia bersyukur kerana jeritannya berjaya menyelamatkannya malah menyebabkan dua peragut melarikan diri tanpa sempat mengambil beg yang dililit di pinggangnya.

Menurutnya, orang ramai yang prihatin menghantarnya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk menerima rawatan lanjut.

“Alhamdulillah, saya terselamat daripada cubaan samun tersebut dan kesan tikaman sedalam tiga sentimeter di bahagian belakang badan kini beransur pulih.

“Orang ramai yang berada di tempat kejadian sempat mencatat nombor pendaftaran kenderaan yang dinaiki suspek, namun hasil pemeriksaan mendapati nombor berkenaan adalah palsu,” katanya.

Ibrahim berkata, dia dan anak-anaknya membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian kira-kira jam 11 malam hari yang sama.

SinarHarian

AIR SUNGAI MELEBIHI ARAS AMARAN DI KELANTAN

 
Sg.Galas di Dabong Gua Musang
masa:23/11/2011 - 13:00
Amaran: Air sungai telah melebihi aras amaran.
... Penduduk di kawasan sekitar diminta berjaga-jaga.
Aras Air: 33.00 (m)

Sg.Golok di Jenob Pasir Mas
masa:23/11/2011 - 13:00
Amaran: Air sungai telah melebihi aras amaran.
Penduduk di kawasan sekitar diminta berjaga-jaga.
Aras Air: 22.91 (m)

Sg.Kelantan di Kuala Krai Kuala Krai
masa:23/11/2011 - 13:00
Amaran: Air sungai telah melebihi aras amaran.
Penduduk di kawasan sekitar diminta berjaga-jaga.
Aras Air: 21.73 (m)

Sg.Kelantan di Kusial Tanah Merah
masa:23/11/2011 - 13:00
Amaran: Air sungai telah melebihi aras amaran.
Penduduk di kawasan sekitar diminta berjaga-jaga.
Aras Air: 13.58 (m)

Sg.Golok di Rantau Panjang
masa:23/11/2011 - 13:00
Amaran: Air sungai telah melebihi aras amaran.
Penduduk di kawasan sekitar diminta berjaga-jaga.
Aras Air: 8.81 (m)

Sg.Lebir di Tualang Kuala Krai
masa:23/11/2011 - 13:00
Amaran: Air sungai telah melebihi aras amaran.
Penduduk di kawasan sekitar diminta berjaga-jaga.
Aras Air: 31.29 (m)
 
Kelantan TV News

Mangsa banjir Kelantan, Terengganu meningkat



KOTA BHARU, 23 Nov — Berikutan hujan lebat yang melanda Kelantan sejak tiga hari lalu, jumlah mangsa banjir yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara meningkat kepada 235, berbanding 26 yang direkodkan semalam.
Dua daerah di negeri ini kini dilanda banjir iaitu Kota Baharu dan Pasir Puteh.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata di Pasir Puteh, pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Awang dibuka sejak semalam.
“Di Kota Baru, dua pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Mulong dan Sekolah Kebangsaan Tiong, dibuka malam tadi,” katanya dipetik Bernama Online.
Paras air di empat sungai utama di Kelantan berada pada tahap berjaga-jaga manakala Sungai Golok di Jenob dan Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada paras amaran.
Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Terengganu meningkat pagi ini. Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, sehingga pukul 9 pagi ini jumlah mangsa yang dipindahkan adalah 1,439 orang berbanding 373 orang semalam.
Katanya daerah Setiu agak teruk apabila seramai 671 orang dipindahkan ke pusat pemindahan, diikuti Besut 560 orang dan Hulu Terenggaanu 208 orang.
Jurucakap itu berkata dalam tempoh yang sama juga 21 pusat pemindahan telah dibuka iaitu tujuh di Setiu, sembilan di Besut dan lima di Hulu Terengganu yang melibatkan balai raya, dewan serbaguna, masjid dan sekolah.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri pula melaporkan paras air di beberapa sungai utama di Terengganu melebihi paras bahaya pagi ini.
Di Besut, paras air di Kampung La mencecah 19.54 meter berbanding paras bahaya 19.20 meter dan di Jambatan Jertih pula bacaannya ialah 8.73 meter, melebihi paras amaran 8.10 meter.
Sungai Nerus di Kampung Bukit di sini mencatat bacaan 13.56 meter (bahaya 12 meter) dan di Kampung Langkap, Setiu 21.95 meter (bahaya 21.50 meter).
Keadaan cuaca di sini pagi ini mendung dan sesekali berlaku hujan serta angin kencang.

The Malaysian Insider.

22 November 2011

INFO BANJIR

 
Status Aras Air Sungai 
Negeri Kelantan

Sg.Golok di Jenob 
Amaran: Air sungai telah melebihi aras amaran.
Penduduk di kawasan sekitar diminta berjaga-jaga.
Aras Air: 21.73 (m)  ( Normal 19.00 m )

Sg.Golok di Rantau Panjang 
 Amaran: Air sungai telah melebihi aras amaran.
Penduduk di kawasan sekitar diminta berjaga-jaga.
Aras Air: 7.78 (m)   ( Normal 5.00 m )
 
 
 
 
Amaran Hujan Lebat
(Peringkat Jingga)
 
 
Dikeluarkan pada: 09:55pm pada 22 November 2011
 
 
SEKSYEN A : AMARAN HUJAN LEBAT ( PERINGKAT JINGGA)Dikemaskini pada : 6.40 pagi 22/11/2011

Hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat yang turun di Kelantan (Daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah dan Kuala Krai), Terengganu (Daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Daerah Kuantan) dijangka berterusan sehingga Khamis, 24 November 2011.
Keadaan ini akan menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah.
 
 









21 November 2011

Amaran Hujan Lebat (Peringkat Jingga)


Dikeluarkan pada: 08:50am pada 21 November 2011

 SEKSYEN A : AMARAN HUJAN LEBAT ( PERINGKAT JINGGA)Dikeluarkan pada : 08.50 pagi 21/11/2011

Ditingkatkan daripada Nasihat Hujan Lebat (Peringkat Kuning) yang dikemaskini pada 11:09 pagi 20/11/2011.

Hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat yang turun di Kelantan (Daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah dan Kuala Krai) dan Terengganu (Daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman) dijangka berterusan sehingga Khamis, 24 November 2011.

Keadaan ini akan menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah.

SEKSYEN B : NASIHAT HUJAN LEBAT (PERINGKAT KUNING)
Dikemaskini pada 08.50 pagi 21/11/2011.

Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di Perlis (Daerah Padang Besar, Kangar dan Arau) dan Kedah (Daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Langkawi) mulai Selasa malam, 22 November 2011 sehingga malam Khamis, 24 November 2011.

Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah.

info :  Jabatan Meteorologi Malaysia

Ratu cantik: Jais digesa ambil tindakan tegas


KUCHING, 21 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak (DPPNS) menggesa Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) untuk mengambil tindakan yang lebih tegas kepada 5 peserta muslim yang menyertai pertandingan akhir Ratu Cantik Borneo 2011, kelmarin.
Apa yang menyedihkan mereka nekad untuk meneruskan niat menyertai pertandingan itu walaupun Jais, Majlis Islam Sarawak dan Sahibus Samahah Mufti Negeri Sarawak telah mengadakan sesi kaunseling seperti yang telah dilaporkan pada 19 November lepas dalam Borneo Post dan 20 November oleh Harian Metro.
“Mereka mendakwa bahawa diberi layanan yang baik oleh penganjur, ini bukanlah alasan untuk mereka ketepikan syariat Islam dalam menentukan pertandingan ratu cantik yang nyata mendedah aurat dan bercanggah dengan syarak.
“Kita juga tidak mahu Jais lesu dan lemah dalam menangani isu seperti ini,” kata Timbalan Ketua DPPNS, Ustaz Ahmad Solihin.
Menurutnya, kefahaman mereka tentang Islam itu lemah dalam menentukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan syariat atau tidak.
“Dek kerana orang berlaku baik, kita sanggup gadaikan maruah agama kita?
“Kenapa Jais tidak boleh bertindak dengan lebih tegas ke atas kes seperti ini?” soalnya.
Beliau juga kesal kerana lima peserta itu juga dikatakan tidak menghiraukan nasihat yang diberikan dan merasa rugi jika tidak sertai pertandingan akhir kerana telah berlatih.
Justeru, tegasnya DPPNS sekali lagi menggesa Jais tidak menjadi seperti Jabatan Agama Islam Selangor yang sibuk mencari pendakwah yang tidak bertauliah berbanding dengan mengambil tindakan kepada mereka yang mencemarkan imej Islam seperti itu.
DPPNS juga, ujarnya kesal dengan kenyataan Pengarah Jais, Abang Shamsudin yang mengatakan bidang kuasa jabatan itu hnaya mampu menasihat mereka sahaja.
“Kenyataan ini seolah-olah umat Islam di Sarawak boleh memandang sebelah mata kepada Jais apatah lagi tiada pegawai Jais yang memantau kemuncak pertandingan tersebut Sabtu lepas kerana bimbang berlaku salah faham,” ujarnya.
Justeru, katanya lagi DPPNS mendesak agar Jais bertindak dengan lebih proaktif dengan memastikan maruah dan aurat wanita Islam Sarawak tidak diperdagangkan sewenang-wenangnya atas nama pertandingan ratu cantik.
Katanya, kemelut itu merupakan kemelut tambahan yang melanda umat Islam di Sarawak bila mana badan penguatkuasa Islam yang sepatutnya memelihara Islam dalam rakyat yang beragama Islam tidak mampu berbuat demikian.
Menurutnya, pada pertegahan tahun ini Jais turut didakwa gagal mengawal rakyat yang beragama Islam daripada menyertai ratu pondan di Sibu.
“Dalam bajet negeri yang baru dibentangkan jelas kerajaan negeri tidak menitikberatkan pembinaan pemahaman Islam yang terbaik untuk umat Islam di Sarawak dengan tidak memberikan peruntukan yang jelas berkenaan pendidkan Islam kepada umat Islam,” ujarnya.
Beliau berkara, sekiranya kerajaan negeri serius untuk memberikan pemahaman Islam yang kukuh kepada rakyat Sarawak yang beragama Islam, perkara seumpama itu pasti dapat dikawal dengan wujudnya komuniti yang lebih sensitif terhadap tuntutan agama.

HARAKAHDAILY

Penyeludup berputih mata


RANTAU PANJANG – Usaha penyeludup untuk menikmati pulangan lumayan hasil jualan 8.6 kilogram pil kuda tidak menjadi kenyataan apabila kegiatan mereka dapat dihidu anggota tentera sedang bertugas di kawasan Pangkalan Haram Gergaji kira-kira jam 6.10 petang kelmarin.

Pegawai Memerintah Batalion Ke-2 Rejimen Sempadan, Mejar Mohd Nadzri Ismail berkata, ketika menjalankan Operasi Mencegah pendatang asing tanpa izin (Pati) berhampiran Stesen Bas Rantau Panjang, anggota tentera bertugas ternampak sebuah kotak ditinggalkan di atas tanah di belakang sebuah kereta.

Menurutnya, setelah diperiksa, empat anggota tentera dari Kompeni C yang diketuai kapten Saidi Zabani Abdul Majid mendapati terdapat 14 bungkusan mengandungi pil kuda seberat 8.6kg dengan nilai lebih RM600,000.

“Penyeludup dipercayai menyedari kehadiran anggota tentera di kawasan letak kereta tersebut melarikan diri untuk seketika sebagai taktik mengaburi mata anggota bertugas supaya tidak ke kawasan itu.

“Kemungkinan juga mereka memerhatikan gerak geri anggota tentera dari jauh untuk melihat sama ada tentera bertugas menyedari kandungan kotak tersebut,” katanya kepada pemberita, semalam.

Mohd Nadzri berkata, pil kuda tersebut dipercayai dibawa dengan perahu dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, pil kuda berkenaan kemudiannya diserahkan ke Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk oleh Pegawai Gerakan Pasukan, Kapten Asri Hussin.

“Kita tidak dapat mengenal pasti penyeludup berikutan terdapat banyak kenderaan dan orang awam di sekitar tempat kotak ditemui. Tetapi penyeludup dipercayai berada di kawasan berhampiran,” katanya.

Mohd. Nadzri berkata, kejayaan ini seolah-olah mengulangi sejarah pasukan itu 10 tahun lalu yang berjaya merampas sejumlah 126 ketul ganja mampat seberat 126 kilogram di Pos Sega, Rantau Panjang.

“Kejayaan ini memberi perangsang kepada anggota untuk meningkatkan penguatkuasaan di kawasan sempadan supaya bebas dari aktiviti penyeludupan,” katanya.

info : SinarHarian

20 November 2011

Malaysia Tewaskan Myanmar 1-0



Gol tunggal Ahmad Fakri Saarani lima minit sebelum berakhir permainan telah membawa skuad kendalian Ong Kim Swee mara ke perlawanan akhir acara bola sepak Sukan Sea ke-26 selepas berjaya membenam Myanmar 1-0 petang tadi di Stadium Gelora Bung Karno.

Fakri yang sering dikritik para peminat membuktikan keupayaannya selepas bijak menghidu peluang di dalam kotak penalti sebelum melepas satu rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol Myanmar yang bermula daripada gerakan Izzaq Faris.

Malaysia dan Myanmar mempamerkan corak permainan berhati-hati sepanjang separuh masa pertama hingga menyaksikan kedua-dua pasukan buntu dan terikat seri 0-0.

Kim Swee yang terpaksa berada dibangku peminat nyata menyukarkan komunikasi dengan para pemainnya dan terpaksa menyampaikan arahan menerusi telefon serta nota-nota yang dihantar kepada pembantu jurulatih negara.

Jentera tengah negara yang dikemudi Baddrol Bakhtiar juga tampak tidak berkesan pada separuh masa pertama dan ia bertambah buruk dengan ketumpulan penyerang negara Fakri sepanjang separuh masa pertama.

Mujur kekentalan benteng pertahanan yang diketuai Mohd Muslim Ahmad dan Mohd Fadhli Shas beberapa kali berjaya menyekat kemaraan lawan, turut mencuri tumpuan pastinya penjaga gol negara, Khairul Fahmi yang membuktikan ketangkasannya dihadapan pintu gol.

Bersambung separuh masa kedua, para pemain negara menggandakan asakan mereka dari bahagian sayap namun kerap kali hantaran tersebut terkandas dan gagal disambut penyerang negara.

Menyedari masa semakin suntuk, Kim Swee akhirnya memasukkan penyerang tinggi lampai Izzaq dengan menggantikan Syahrul Azwari manakala Fakri berubah posisi di bahagian tengah sedikit.

Disamping itu, dua percaturan juga dilakukan dengan memasukkan K.Gurusamy untuk menyuntik tenaga kepada bahagian pertahanan negara yang sering terancam.

Strategi tersebut menampakkan hasil apabila Myanmar mula diasak hebat oleh M'sia hinggalah minit ke-85 apabila Fakri berjaya meloloskan diri serta merembat kencang bola ke dalam jaring Myanmar.

Berbaki lima minit, Kim Swee memberi arahan kepada anak buahnya untuk lebih bertahan baki mengekalkan kelebihan satu gol.

Selepas berhempas-pulas skuad negara akhirnya berjaya meraih kemenangan 1-0 sekaligus menempah tiket ke perlawanan akhir Sukan Sea 26.

Suhakam desak bebas semua tahanan terbaru ISA


KUALA LUMPUR, 19 Nov: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meluahkan rasa amat kecewa dan terkejut dengan penangkapan terbaru 13 individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) atas kegiatan gerakan militan di Sabah.
“Tindakan pihak berkuasa ini benar-benar mengejutkan dan sama sekali bertentangan dengan keputusan Perdana Menteri yang berani dan bersejarah untuk memansuhkan ISA serta pengiktirafan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia serta perseimbangan antara hak tersebut dengan peraturan undang-undang dalam sistem demokrasi berparlimen negara – yang telah lama dinanti-nantikan dan amat dialu-alukan dengan sepenuh hati oleh rakyat,” kata pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataan.
Katanya, selaras dengan seruan yang telah dibuat sebelum ini agar undang-undang penahanan pencegahan dimansuhkan, Suruhanjaya menggesa agar pihak berkuasa membebaskan kesemua mereka yang ditahan di bawah undang-undang tersebut dan memberikan hak mereka kepada perbicaraan terbuka dengan diwakili peguam.
Suruhanjaya juga, ujarnya menyeru kerajaan supaya menghentikan penggubalan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan agar menangani isu berkaitan keganasan di bawah undang-undang lain yang sedia ada; dan sementara pemansuhan ISA dibuat, tiada sebarang penangkapan akan dijalankan di bawah akta itu.

Harakahdaily    

19 November 2011

Konsep Islam untuk semua kaum



KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan perjuangan ‘mengangkat keris’ yang memfokuskan sesuatu bangsa adalah perjuangan sempit.

Malah, Menteri Besar Kelantan itu berkata, tindakan memperjuangkan bangsa Melayu sahaja jelas salah dan mengkhianati perjuangan Islam sebenar.

“Konsep membangun bersama Islam diperjuangkan Pas Kelantan untuk memberi kefahaman kepada masyarakat bukan Islam konsep Islam untuk semua kaum,”

“Islam sendiri kalau diperhatikan ayat al-Quran yang diturunkan Allah berbunyi ‘aku buat manusia’. Allah tidak kata Arab, Melayu, Siam, Orang Asli atau Inggeris,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Makan Malam Mesra Kaum anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), di sini, kelmarin.

Menurutnya, agama Islam bukan milik masyarakat Melayu seperti yang dikatakan golongan nasionalis kerana Islam adalah untuk semua tanpa mengira bangsa atau keturunan.

Nik Aziz mengakui tindakan setengah pemimpin yang mengangkat keris sambil menyebut Melayu menyebabkan bangsa lain tidak selesa.

“Sedangkan ‘khazanah’ di Malaysia ini dipenuhi orang Cina. Ini kerana mereka lebih kaya daripada masyarakat Melayu,” katanya.

Beliau turut menegaskan dasar perjuangan yang dilaksanakan Kelantan selama ini tidak sedikitpun melakukan penindasan kepada masyarakat lain selain Melayu.

Menurutnya, mengekalkan keharmonian semua kaum sentiasa diamalkan manakala konsep semua bersaudara diterapkan dan sebab itu Kelantan berjaya mengekalkan keharmonian pelbagai kaum sehingga kini.

Katanya, keunikan masyarakat Cina Kelantan dapat dilihat dengan cara pertuturan dialek Kelantan yang fasih, kebudayaan, percakapan, makanan dan sebagainya yang tidak terdapat di mana-mana negeri lain.

“Di Kelantan beberapa sekolah jenis kebangsaan Cina lebih ramai menerima pelajar Melayu termasuk cucu-cucu saya kerana keharmonian yang diamalkan,” katanya.


SinarHarian

18 November 2011

AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI PERTAMA)


Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama di beberapa kawasan perairan negara bermula isnin ini

Dalam satu kenyataan hari ini bahawa angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, WP. Labuan, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat), Samui, Condore, Reef North, Layang-Layang, Tioman, Bunguran, Reef South dan Palawan bermula pada Isnin, 21 November 2011 sehingga Selasa, 29 November 2011.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Dan dalam satu kenyataan lagi Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan Amaran Ribut Petir menyeluruh.
Aktiviti ribut petir yang berlaku di perairan Johor Timur (Kota Tinggi), Pahang, Terengganu, Tioman dan Sabah (Sandakan) dijangka akan berterusan sehingga lewat petang, Jumaat, 18 November 2011.

Keadaan ini juga boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50km/j dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.


Kelantan TV News

Majlis Penyerahan Amanat Tun Razak Di Parlimen






03 November 2011

Kenyataan Media Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kelantan



Berhubung Cadangan Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) Untuk Menghentikan Perkhidmatan Bas Berhenti-henti “Cityliner”



  1. Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan atau ringkasnya SKMK, merupakan pengendali pengangkutan bas yang ternama di Kelantan dan di Malaysia. Syarikat ini mengendalikan perkhidmatan yang pelbagai, antaranya ialah Bas Cepat atau bas ekspres (tanpa berhenti-henti) yang menghubungkan seluruh jajahan dan bandar-bandar utama yang terdapat di Negeri Kelantan. Selain itu SKMK juga menyediakan perkhidmatan Bas antara bandar yang beroperasi secara berhenti-henti (Cityliner), bagi menghubungkan bandar-bandar utama, sederhana, kecil dan kawasan-kawasan setempat.
  2. Hakikatnya SKMK yang ditubuhkan pada 24 Februari 1947 ini telah banyak menabur jasa kepada seluruh rakyat Kelantan dengan perkhidmatan pengangkutan untuk semua jenis peringkat rakyat. Bagaimanapun, ekoran kenaikan harga minyak dan pelbagai kos termasuklah untuk tujuan penyelenggaraan kenderaan, SKMK telah melahirkan hasrat untuk menghentikan perkhidmatan bas henti-henti Cityliner atau sekurang-kurangnya mengurangkan laluan perkhidmatan melalui sepucuk surat kepada saya baru-baru ini.
  3. Pihak Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) telah diberikan taklimat sebanyak dua kali dan kerajaan melihat kewajaran di sebalik perbehentian perkhidmatan tersebut ekoran kos yang terpaksa ditanggung oleh SKMK yang akhirnya mengakibatkan kerugian. Manakala faktor lain termasuklah kewujudan perebet sapu dan persaingan dengan teksi dan kadar tambang rendah yang dikawal turut menyumbang ke arah kerugian tersebut.
  4. Bagaimanapun, pihak kerajaan melihat perbehentian perkhidmatan bas henti-henti Cityliner ini akan memberikan implikasi besar kepada rakyat bawahan termasuklah para pelajar yang telah menggunakan perkhidmatan ini sekian lama. Justeru, pihak kerajaan di dalam mesyuarat Exco yang lepas telah membuat keputusan untuk menyalurkan bantuan sebanyak RM100 ribu sebulan kepada SKMK bermula bulan November 2011 selama empat bulan untuk tujuan menampung kerugian yang sedang ditanggung. Manakala di dalam mesyuarat semalam iaitu pada 6 Zulhijjah 1432 H bersamaan 2 November 2011 M, kerajaan telah bersetuju untuk mewujudkan  satu Jawatankuasa Teknikal Pengangkutan Bas untuk membincangkan langkah pemulihan berikutnya. Jawatankuasa tersebut diketuai oleh Yang Berhormat Mejar (B)  Dato Haji Mohd Anizam bin Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar serta turut disertai oleh beberapa orang exco dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri Kelantan.
  5. Kerajaan Kelantan dengan segala kemampuan yang ada akan terus berusaha untuk memastikan keperluan rakyat terutamanya kelas menengah dan bawahan tidak terjejas dan ini termasuklah memastikan perkhidmatan bas henti-henti Cityliner yang telah banyak menyumbang kepada rakyat Kelantan dapat diteruskan.

Sekian, terima kasih.

Dengan hormat,

Yang Amat Berhormat Datuk Bentara Setia Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 7 Zulhijjah 1432 Hijrah bersamaan 3 November 2011 M

Pakatan ganti BN PRU 13 - Anwar ramal ‘kebangkitan Malaysia’



KUALA LUMPUR, 3 Nov —  Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan satu “kebangkitan Malaysia” pada pilihan raya umum ke-13 sambil dengan yakin memberitahu agensi berita Amerika Bloomberg, Pakatan Rakyat (PR) akan mengambil alih Putrajaya daripada penguasaan Barisan Nasional (BN).
“Melihat pada kadar kami sedang bergerak sekarang, kami akan mengambil alih kerajaan,” kata beliau dalam satu temu bual dipetik agensi berita itu hari ini.
Ketua Pembangkang itu yang kini berhadapan dengan kemungkinan sabitan kesalahan buat kali kedua dalam kerjaya politiknya merujuk kepada perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu sebagai tanda sokongan besar kepada perikatan tersebut.
Kempen itu menarik ribuan hadirin di ibu negara di sebalik tindakan keras diambil pihak kerajaaan. Pihak polis juga menahan lebih 1,500 orang ketika itu.
Susulan perhimpunan itu, kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan beberapa pembaharuan politik termasuk pembentukan jawatankuasa pilihan khas Parlimen bagi mengkaji sistem pilihan raya awal Ogos lalu.
Sebulan kemudian, Najib mengumumkan pemansuhan beberapa akta termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang lain.
Tambah Anwar, dengan sokongan yang ditunjukkan oleh penunjuk perasaan ketika perhimpunan Bersih 2.0, meskipun beliau disabitkan kesalahan pembangkang akan memperoleh keputusan yang lebih baik kali ini.
Sehubungan itu kata beliau, keputusan kes melibatkan dirinya merupakan satu rumusan yang “sudah pun pasti.”
Pemerintahan kerajaan BN lebih lima dekad,  katanya, akan berakhir dalam pilihan raya umum ke-13.
Anwar memberitahu Bloomberg bahawa PR akan memperoleh lebih 40 peratus undi di kubu-kubu kuat BN, Johor dan Pahang, memperoleh balik majoriti di lima negeri yang ia menang pada 2008 selain mencatatkan kedudukan lebih baik di Negeri Sembilan dan Terengganu.
“Trend ke arah kebebasan dan demokrasi tidak boleh dielak. Kita sepatutnya boleh melakukan lebih baik (kali ini),” kata Anwar yang juga Ketua Umum PR.
Bloomberg membangkitkan bahawa tiada sebarang peristiwa yang pemimpin Asia Tenggara digulingkan daripada kuasa sedangkan gerakan sivil semakin kuat di rantau ini.
Anwar menjawab: “Ketika negara-negara Timur Tengah berhadapan dengan Kebangkitan Arab, negara jiran Singapura menyaksikan rekod peralihan undi kepada pembangkang pada Mei (lalu), dan Myanmar membebaskan beberapa pesaing politik dari penjara bulan lalu.”
“Bila akan ada Kebangkitan Malaysia? (Ketika) pilihan raya umum akan datang,” kata Anwar.
“Harap-harap, kami akan melakukan (giliran) kami menerusi proses demoktratik yang aman,” katanya lagi.
Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno pada 1998 dan kemudian menghadapi tuduhan liwat dan salah guna kuasa.
Beliau dibebaskan pada September 2004 dan mengetuai kerjasama PR pada pilihan raya umum Mac 2008 dan memperoleh balik kerusi Parlimen Permatang Pauh menerusi pilihan raya kecil pada tahun yang sama.

The Malaysian Insider

KELANTAN TV by Serambi Media Network

LIVE Sidang Dewan Rakyat

LIVE BOLASEPAK KELANTAN


Video streaming by UstreamHakcipta Terpelihara © 2013 Perbadanan Stadium Kelantan
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Serambi Media Network (Kelantan TV News). Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman