20 November 2011

Malaysia Tewaskan Myanmar 1-0



Gol tunggal Ahmad Fakri Saarani lima minit sebelum berakhir permainan telah membawa skuad kendalian Ong Kim Swee mara ke perlawanan akhir acara bola sepak Sukan Sea ke-26 selepas berjaya membenam Myanmar 1-0 petang tadi di Stadium Gelora Bung Karno.

Fakri yang sering dikritik para peminat membuktikan keupayaannya selepas bijak menghidu peluang di dalam kotak penalti sebelum melepas satu rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol Myanmar yang bermula daripada gerakan Izzaq Faris.

Malaysia dan Myanmar mempamerkan corak permainan berhati-hati sepanjang separuh masa pertama hingga menyaksikan kedua-dua pasukan buntu dan terikat seri 0-0.

Kim Swee yang terpaksa berada dibangku peminat nyata menyukarkan komunikasi dengan para pemainnya dan terpaksa menyampaikan arahan menerusi telefon serta nota-nota yang dihantar kepada pembantu jurulatih negara.

Jentera tengah negara yang dikemudi Baddrol Bakhtiar juga tampak tidak berkesan pada separuh masa pertama dan ia bertambah buruk dengan ketumpulan penyerang negara Fakri sepanjang separuh masa pertama.

Mujur kekentalan benteng pertahanan yang diketuai Mohd Muslim Ahmad dan Mohd Fadhli Shas beberapa kali berjaya menyekat kemaraan lawan, turut mencuri tumpuan pastinya penjaga gol negara, Khairul Fahmi yang membuktikan ketangkasannya dihadapan pintu gol.

Bersambung separuh masa kedua, para pemain negara menggandakan asakan mereka dari bahagian sayap namun kerap kali hantaran tersebut terkandas dan gagal disambut penyerang negara.

Menyedari masa semakin suntuk, Kim Swee akhirnya memasukkan penyerang tinggi lampai Izzaq dengan menggantikan Syahrul Azwari manakala Fakri berubah posisi di bahagian tengah sedikit.

Disamping itu, dua percaturan juga dilakukan dengan memasukkan K.Gurusamy untuk menyuntik tenaga kepada bahagian pertahanan negara yang sering terancam.

Strategi tersebut menampakkan hasil apabila Myanmar mula diasak hebat oleh M'sia hinggalah minit ke-85 apabila Fakri berjaya meloloskan diri serta merembat kencang bola ke dalam jaring Myanmar.

Berbaki lima minit, Kim Swee memberi arahan kepada anak buahnya untuk lebih bertahan baki mengekalkan kelebihan satu gol.

Selepas berhempas-pulas skuad negara akhirnya berjaya meraih kemenangan 1-0 sekaligus menempah tiket ke perlawanan akhir Sukan Sea 26.

Tiada ulasan:

KELANTAN TV by Serambi Media Network

LIVE Sidang Dewan Rakyat

LIVE BOLASEPAK KELANTAN


Video streaming by UstreamHakcipta Terpelihara © 2013 Perbadanan Stadium Kelantan
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Serambi Media Network (Kelantan TV News). Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman