14 Disember 2011

Akta Kerja: Gabungan MTUC tuntut suruhanjaya diraja, piket nasional


KUALA LUMPUR, 14 Dis — Desakan daripada gabungan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berterusan, dengan yang terbaru menggesa kerajaan mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat motif Rang Undang-undang Kerja (Pindaan 2011, yang mendapat bantahan keras badan induk pekerja itu.
MTUC bahagian Selangor-Wilayah Persekutuan menegaskan, selain diadakan satu suruhanjaya diraja, kepimpinan kongres itu juga perlu mengadakan piket nasional kedua bagi terus mengenakan tekanan ke atas kerajaan berhubung Rang Undang-undang Kerja.
“Kesatuan-kesatuan sekerja yang menggesa agar diadakan suruhanjaya diraja juga mahu piket peringkat kebangsaan diadakan untuk memperlihatkan kekecewaan pekerja terhadap sikap antipekerja dan antikesatuan diperlihatkan oleh kerajaan Malaysia,” kata Pengerusi MTUC Selangor-Wilayah Persekutuan N Gopal Kishnam dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, meskipun adanya bantahan daripada MTUC, Kementerian Sumber Manusia meneruskan pindaan ke atas Akta Kerja yang antara lain membolehkan penggunaan sistem kontraktor bagi tenaga kerja secara sah.
Sehubungan itu kata beliau, kementerian tersebut kelihatan memihak kepada pihak-pihak tertentu dengan sanggup menjadikan para pekerja sebagai hamba dengan terus membenarkan sistem kontraktor bagi tenaga kerja.
“Majlis am MTUC telah mengambil satu keputusan untuk menentang pindaan (Akta Kerja) dan tindakan-tindakan untuk menentang pindaan seharusnya diteruskan sehingga kerajaan memutuskan bagi menarik balik pindaan.
“Masih belum terlewat bagi kerajaan mendengar suara pekerja negara ini,” kata beliau sambil menambah, majlis am merupakan badan tertinggi MTUC dan oleh itu, mana-mana individu tidak boleh mengatasi keputusan diambil oleh badan tersebut.
Pendirian ini dilahirkan ketika beberapa kesatuan gabungan MTUC mendakwa badan induk pekerja itu kelihatan seolah-olah tidak proaktif dalam isu pindaan Akta Kerja 1955 sementara Dewan Negara dijadual membahaskannya minggu ini.
Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja KTM Berhad Abdul Razak Md Hassan berkata, pihaknya terkilan apabila pertubuhan bukan kerajaan sudah mula mendahului MTUC dengan sanggup mengadakan demonstrasi di pekarangan bangunan Parlimen pada 15 Disember ini.
“Kesatuan Pekerja-pekerja KTM Berhad terpanggil untuk menyampaikan rasa terkilan dengan tindakan MTUC yang bergerak terlalu perlahan mengenai pindaan Akta Kerja,” kata Razak kepada The Malaysian Insider awal minggu ini.
Malah, menurut Razak, pihaknya juga rasa hairan kerajan pertubuhan bukan kerajaan Jerit seolah-olah mengambil peranan MTUC dengan mengadakan demostrasi di kawasan Parlimen Khamis ini.
Sehubungan itu kata beliau, kesatuannya mahu kepimpinan MTUC mengadakan mesyuarat majlis am tergempar seberapa segera sebelum 14 Disember agar kesemua gabungan diberi penjelasan seterusnya membincangkan tindakan selanjutnya.
“Majlis am juga perlu mendapat penjelasan dari mereka yang bertanggungjawab telah bersetuju tentang pindaan berkenaan supaya tindakan boleh diambil sekira mereka didapati bersalah.
“Kegagalan kepimpinan MTUC mengadakan mesyuarat majlis am MTUC tergempar, Kesatuan Pekerja-pekerja KTM akan mencadangkan kepimpinan MTUC meletakkan jawatan,” kata beliau.
Dalam laporan The Malaysian Insider hari ini, MTUC meletakkan harapan pada anggota Dewan Negara, yang dijangka akan membahaskan pindaan Akta Kerja esok, agar menolak rang undang-undang tersebut dengan mengambil kira bantahan dan nasib masa depan pekerja-pekerja negara ini.
Presiden MTUC Khalid Atan berkata pihaknya mengharapkan sokongan para senator untuk menolak rang undang-undang itu.
Badan induk itu telah menulis kepada kesemua anggota Dewan Negara dua minggu lalu mengenai beberapa peruntukan dalam rang undang-undang itu khususnya berkaitan dengan sistem kontraktor bagi tenaga kerja, yang didakwa akan mendatangkan lebih banyak keburukan dalam jangka panjang.
Rang undang-undang itu telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu - tiga hari selepas MTUC mengadakan piket di pekarangan bangunan Parlimen.
MTUC mengadakan piket kebangsaan pada 3 November dan perhimpunan peringkat Selangor-Wilayah Persekutuan, 2 Disember lalu.

 The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

KELANTAN TV by Serambi Media Network

LIVE Sidang Dewan Rakyat

LIVE BOLASEPAK KELANTAN


Video streaming by UstreamHakcipta Terpelihara © 2013 Perbadanan Stadium Kelantan
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Serambi Media Network (Kelantan TV News). Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman