04 Disember 2011

Catriona bertudung cetus fitnah


KOTA BHARU - Penghijrahan aktres Catriona Ross untuk bertudung mengundang fitnah apabila beliau dilemparkan pelbagai tohmahan termasuk menyertai parti politik pembangkang apabila aktif menerima undangan berceramah dalam majlis-majlis tertentu.

Menurutnya, sejak mengambil keputusan bertudung selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu, rakan seangkatan dalam industri hiburan yang dulunya rapat semakin menjauhkan diri.
“Rakan-rakan rapat saya yang dulu sentiasa bersama juga hilang entah ke mana. Ada juga yang menuduh saya masuk politik kerana saya banyak terima undangan majlis motivasi dan ceramah.
“Ada juga rakan-rakan dalam bidang hiburan sendiri yang menggelar saya ‘ustazah jadi jadian’ ekoran perubahan drastik yang saya lakukan selepas tampil bertudung di khalayak,” kata ibu kepada Sephia Rania Ross-Iddin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi panel Program Bual Bicara Hijrah-Antara Usaha atau Hidayah Sempena Majlis Budaya Ilmu Perdana Maal Hijrah 2011 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini, kelmarin.
Program itu turut disertai Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah UMK, Dr Aminurrasyid Yatiban dan Dr Noorhisham Md Nawi.
Catriona Noorhayati Ross Bahrin Ross yang berasal dari Kota Bharu itu berkata, beliau akur dengan segala cercaan dan tohmahan yang diterima sejak berhijrah lebih ke arah kehidupan Islam kerana ia sudah menjadi lumrah.

Menurutnya, beliau selesa dengan penampilan baru itu dan bersyukur ahli keluarga dan rakan-rakan rapat semasa belajar dulu sentiasa memberikan sokongan padu kepadanya sehingga kini.
Katanya, penampilannya itu tidak lengkap tanpa diserikan dengan ilmu dan sebab itulah beliau kini aktif menerima pelbagai undangan program motivasi, bual bicara, ceramah dan juga usrah.

Anak kacukan Melayu-Scotland itu berkata, melalui aktiviti seumpama itu beliau dapat berkongsi pengalaman dengan pelbagai lapisan masyarakat dan juga dapat menimba lebih banyak ilmu agama dengan membaca al-Quran dan kitab agama untuk dikongsi bersama hadirin.
“Melalui pembacaan ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan ilmu agama saya dan apabila bercakap saya bukan bercakap kosong tetapi ada fakta yang menyokongnya.
“Saya tidak mahu menjadi individu yang hanya menutup aurat tetapi tiada ilmu. Sebab itu saya banyak membaca al-Quran dan kitab berkaitan agama untuk memperoleh lebih banyak pengetahuan,” katanya.
Mengenai pelbagai fitnah yang dilemparkan pula, beliau menerimanya dengan reda dan menganggapnya sebagai dugaan apabila berhijrah ke jalan ALLAH SWT.

Menurutnya, apabila menerima cercaan seumpama itu beliau hanya mampu tersenyum dan mendoakan individu yang mencercanya supaya berubah suatu hari nanti.
Katanya, beliau sentiasa istiqamah dalam menjalani kehidupan supaya perubahan yang dilakukan itu selain memberi kebaikan kepada diri sendiri, ia turut dapat dirasai dan dikongsi bersama mereka di sekelilingnya.
Catriona berkata, kini beliau sibuk dengan program ceramah dan motivasi di beberapa negeri sehingga aktiviti lakonan yang masih diminati terpaksa ditangguhkan sementara waktu.

Untuk perancangan masa depan, beliau bercadang menghasilkan buku yang menceritakan pengalamannya selama ini dan perubahan yang dilakukan selepas berumah tangga dan memiliki seorang cahaya mata.
“Insya-Allah jika tiada masalah, saya akan mula menulis buku itu tidak lama lagi,” katanya.

SINARHARIAN

Tiada ulasan:

KELANTAN TV by Serambi Media Network

LIVE Sidang Dewan Rakyat

LIVE BOLASEPAK KELANTAN


Video streaming by UstreamHakcipta Terpelihara © 2013 Perbadanan Stadium Kelantan
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Serambi Media Network (Kelantan TV News). Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman