21 Disember 2011

Kerani Bank Mati Ditikam 15 Kali


KUALA LUMPUR: Seorang kerani bank maut selepas ditemui berlumuran darah dengan 15 tikaman di bahagian belakang badan di rumah sewanya di Puncak Desa, Kepong awal pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Rosly Hassan berkata, Rozana Mohd Yusak, 35, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam kejadian pukul 1.30 pagi tadi.
Sebelum itu, Rozana dilihat oleh seorang pekerja restoran di kawasan berhampiran seakan-akan meminta pertolongan di tingkap rumahnya, katanya.
"Pekerja restoran tersebut terus menghubungi polis sebelum pasukan polis tiba ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa yang berlumuran darah. Hasil pemeriksaan mendapati mangsa ditikam selain terdapat banyak kecederaan lain di hadapan badannya," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di sini Rabu.
Katanya, mangsa yang tinggal berseorangan di rumah itu ditemui berseluar pendek dan singlet serta tiada pengenalan diri, telefon bimbit dan senjata ditemui.
Rosly berkata ketika polis tiba, rumah tersebut dalam keadaan berselerak serta terdapat kesan pergelutan.
Katanya polis masih menyiasat motif kejadian selain tidak menolak kemungkinan terdapat unsur cemburu.
"Motif cemburu mungkin boleh dikaitkan dengan kematian mangsa berdasarkan kesan tikaman yang banyak dan ia seperti dilakukan oleh seseorang yang memang berdendam dengan wanita itu," katanya.
Beliau berkata polis sedang menjejaki teman lelaki wanita itu untuk membantu siasatan.
"Mayat mangsa dihantar ke HKL untuk bedah siasat dan polis menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh."
Sementara itu bapa mangsa, Mohd Yusak Suparman, 64, ketika ditemui pemberita di Bilik Mayat HKL berkata beliau hanya mengetahui kejadian yang menimpa anak sulungnya itu kira-kira pukul 6.30 pagi tadi apabila dimaklumkan anak saudaranya.
"Pakcik tinggal di Ijok, Kuala Selangor...Selepas diberitahu anak saudara pakcik tentang Rozana, terus pakcik ke sini (HKL)," katanya.
Beliau yang merupakan seorang pesara berkata, kali terakhir berjumpa Rozana kira-kira seminggu yang lepas.
"Dia (Rozana) seorang yang peramah, dan pakcik tak sangka kejadian ini boleh berlaku kepadanya," katanya yang juga berkata isterinya Jamaliah Abdul Samad pengsan selepas mendengar berita kematian anak sulung daripada tiga beradik itu.
Katanya Rozana yang bekerja di bank berkenaan lebih 10 tahun sebelum ini pernah memintanya membelikan sebuah komputer riba, namun hajat itu tidak dapat ditunaikan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

KELANTAN TV by Serambi Media Network

LIVE Sidang Dewan Rakyat

LIVE BOLASEPAK KELANTAN


Video streaming by UstreamHakcipta Terpelihara © 2013 Perbadanan Stadium Kelantan
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Serambi Media Network (Kelantan TV News). Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman