21 Disember 2011

SPR: Guna dakwat kekal PRU-13 muktamad, mahu semua terima syor Parlimen


KUALA LUMPUR, 21 Dis — Keputusan menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 adalah muktamad dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya melaksanakan syor diluluskan Parlimen, tegas timbalan pengerusinya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.
Sehubungan itu kata beliau, tidak harus ada keraguan mengenai langkah tersebut yang akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin termasuk memastikan tidak bercanggah dengan prinsip Islam dan SPR juga berharap tidak akan ada pihak yang membantahnya lagi.
Semalam, Perkasa menolak keputusan SPR yang mengumumkan akan menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 atas alasan orang Melayu tidak akan keluar mengundi, selain mendakwa ia bertujuan mengurangkan peratusan pengundi kalangan kaum itu kelak.
Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata, pihaknya yakin penggunaan dakwat kekal akan membawa negara ke belakang.
Perkasa diketuai Ahli Parlimen Bebas Datuk Ibrahim Ali.
“Keputusan ini (menggunakan) adalah muktamad, kami hanya laksanakan keputusan Parlimen,” kata Wan Ahmad kepada The Malaysian Insider mengulas kenyataan Perkasa.
Tegas beliau, apa gunanya sistem dakwat kekal, yang akan diwajibkan ke atas setiap pengundi bagi mencapai tujuannya, tetapi tidak digunakan dengan menyeluruh kelak, lebih-lebih lagi ia telah diluluskan oleh Parlimen.
“Kami melaksanakan apa yang diputuskan oleh Parlimen, syor yang dibuat oleh jawatankuasa pilihan khas (PSC)... yang diterima oleh ahli-ahli Parlimen, dari semua parti,” kata beliau sambil menambah, “itu terpulang kepada sesiapa kalau hendak mengeluarkan pandangan mereka.”
Katanya, dakwat kekal, sebagaimana objektifnya, akan digunakan untuk memastikan tiada elemen pengundian berganda kelak dan mengelakkan pertikaian-pertikaian yang dibangkitkan sebelum ini.
“Bermakna tidak timbul keraguan, masalah ketika hari pengundian. Dakwat kekal ini digunakan di kebanyakan negara-negara Islam,” kata beliau lagi.
Wan Ahmad (gambar) menekankan bahawa mengikut peraturan yang telah dipinda, di bawah pendekatan penggunaan dakwat kekal, kertas undi tidak akan diberikan jika seseorang enggan kuku jari mereka dicalit.
“Itu peruntukan di bawah sistem dakwat kekal. Ini peraturan. SPR melaksanakan tanggungjawab yang diputuskan oleh Parlimen, yang penting ini hasil syor PSC.
“Isu keraguan tidak harus timbul, tidak harus berbangkit lagi. Tidak harus timbul apa-apa keraguan kerana Majlis Fatwa Kebangsaan pernah memberi kelulusan (pada 2007), dan akan dikemukakan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan sekali lagi selepas ini,” katanya.
Majlis Fatwa Kebangsaan pernah memberi kelulusan kepada penggunaan dakwat kekal pada 2007 untuk digunakan pada pilihan raya umum 2008. Tetapi dakwat kekal tidak digunakan ekoran masalah teknikal dari segi perundangan.
SPR akan mengemukakan dakwat kekal kepada Majlis Fatwa Kebangsaan selepas dianalisis oleh Jabatan Kimia. Ia juga akan dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan.
“Dakwat kekal yang hendak digunakan kali ini lebih meyakinkan, digunakan oleh banyak negara, banyak negara Islam, negara yang ada pengundi Islam. Tidak menjadi masalah,” katanya lagi.
Wan Ahmad mengulangi bahawa SPR berharap semua pihak akan yakin dengan penggunaan dakwat kekal dan hanya melaksanakan apa yang diputuskan oleh PSC, malah “kita tidak ada apa-apa untuk sembunyikan.”
Dalam kenyataannya semalam, Syed Hassan juga mendakwa Perkasa percaya gesaan untuk penggunaan dakwat kekal adalah daripada pihak yang sebenarnya tidak mahukannya juga tapi oleh kerana ia cara untuk membuatkan orang Melayu dan Islam tidak mahu keluar mengundi.
“Siapa yang untung jika orang Melayu tidak keluar mengundi? Saya sendiri kemungkinan besar tidak akan keluar mengundi jika kekal dengan penggunaan dakwat kekal.
“Dan, kemungkinan ramai ahli Perkasa tidak keluar mengundi juga. Siapa yang akan terasa rugi jika ramai ahli Perkasa dan orang Melayu lain tidak keluar mengundi?” katanya.
Oleh itu kata beliau, kerajaan perlu berfikir dengan sebaik-baiknya keputusan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13.

Tiada ulasan:

KELANTAN TV by Serambi Media Network

LIVE Sidang Dewan Rakyat

LIVE BOLASEPAK KELANTAN


Video streaming by UstreamHakcipta Terpelihara © 2013 Perbadanan Stadium Kelantan
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Serambi Media Network (Kelantan TV News). Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman