14 Disember 2011

Sultan Abdul Halim lafaz sumpah Agong ke-14


Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berangkat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pagi ini, bagi menghadiri istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

NONEKetibaan Tuanku Abdul Halim bersama Sultanah Haminah Hamidun pada pukul 9.07 pagi disambut oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri  Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais.

Seramai 29 anggota dan pegawai dari Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja mengadakan kawalan kehormat setempat.

Baginda berdua kemudian berangkat ke Dataran Parlimen di Kuala Lumpur untuk sambutan penuh istiadat.

Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja di Istana Negara pada 14 Okt lalu sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa hari ini.

Ini adalah kali kedua Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada 21 Sept 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir 20 Sept 1975.

Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.
Sambutan

Di Kuala Lumpur, keberangkatan tiba Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah di Dataran Parlimen di Kuala Lumpur  pada pukul 10 pagi disambut dengan tiupan nafiri oleh 20 anggota dari Rejimen Kedua Kor Armour Diraja.

NONEPerdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman menyambut keberangkatan tiba baginda berdua.

Baginda berdua kemudian diiringi ke peterana, melintasi pasukan kawalan tombak, diikuti dengan persembahan tabik "Hormat Diraja" oleh pasukan kawalan kehormat dan disusuli lagu Negara Ku oleh pasukan pancaragam pusat Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipimpin Leftenan Nor Azizan Yahaya.

Serentak dengan itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan dan diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.
Tuanku Abdul Halim kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormat terdiri daripada 103 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Muhammad Abdullah.

Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan disusuli dengan tabik 'Hormat Diraja' serta lagu Negaraku.
Lafaz sumpah

Baginda berdua kemudian menerima menghadap menteri-menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan sebelum berangkat ke Istana Negara di Jalan Duta untuk istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Tuanku Abdul Halim kemudiannya melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara.
Ini merupakan kali kedua baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Kali pertama ialah dari 21 Januari 1970 hingga 20 September 1975 semasa berusia 43 tahun.
Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan sembilan Raja Melayu dimulakan sejak negara Merdeka pada 31 Ogos, 1957.
Istiadat hari ini merupakan istiadat seumpamanya yang pertama kali diadakan di Istana Negara yang baru dibina bercirikan binaan Islam dan tradisional Melayu di kawasan seluas 96.52 hektar, yang mula beroperasi pada 15 November lalu.
Pengisytiharan

Berikut ialah pengisytiharan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 yang dibacakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan di Istana Negara di Kuala Lumpur hari ini:

"Bahawasanya adalah diperuntukkan oleh Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan bahawa hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang digelar Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-raja:

Dan bahawasanya menurut peruntukan Jadual Ketiga kepada Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja telah mengisytiharkan Beta dipilih memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Maka oleh yang demikian Beta, Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'azam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, dengan ini mengisytiharkan bahawa Beta pada hari ini telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dan telah mengangkat sumpah yang dikehendaki oleh Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan mengikut cara yang ditetapkan oleh Perkara itu.

Diperbuat di Istana Beta, Istana Negara, di Ibu Negara Beta di Kuala Lumpur pada tiga belas haribulan Disember dalam tahun dua ribu sebelas."
Senarai Agong

Berikut adalah senarai Yang di-Pertuan Agong:
  
1) Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad
Mangkat: 1 April 1960 (mangkat semasa memerintah sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama)
Ditabal: 2 Sept 1957
Tempoh Jawatan: 3 Ogos 1957 - 1 April, 1960
 
2) Sultan Selangor
Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ala'iddin Sulaiman Shah
Mangkat: 1 Sept 1960
Ditabal: 1 Sept 1960 (mangkat beberapa jam sebelum ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong kedua)
Tempoh Jawatan: Menjalankan tugas Yang di-Pertuan Agong sejak 4 April 1960 berikutan kemangkatan Tuanku Abdul Rahman)  
 
3) Raja Perlis
Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail
Mangkat: 16 April 2000
Ditabal: 4 Jan 1961
Tempoh Jawatan: 21 Sept 1960 - 20 Sept 1965
(Raja paling muda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong iaitu pada usia 40 tahun)
 
4) Sultan Terengganu
Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin
Mangkat: 20 Sept 1979
Ditabal: 21 Sept 1965
Tempoh Jawatan: 21 Sept 1965 - 20 Sept 1970
 
5) Sultan Kedah
Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah
Ditabal: 20 Feb 1971
Tempoh Jawatan: 21 Jan 1970 - 20 Sept 1975

6) Sultan Kelantan
Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim
Mangkat: 29 Mac 1979
Ditabal: 28 Feb 1976
Tempoh Jawatan: 21 Sept 1975 - 29 Mac, 1979
 
7) Sultan Pahang
Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah
Ditabal: 10 Julai 1980
Tempoh Jawatan: 26 April 1979 - 25 April 1984
 
8) Sultan Pahang
Sultan Mahmood Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail
Mangkat : 23 Jan 2010
Ditabal: 15 Nov 1984
Tempoh Jawatan: 15 April 1984 - 25 April 1989
 
9) Sultan Perak
Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Ghafarullahulahu Shah
Ditabal: 18 Sept, 1989
Tempoh Jawatan: 26 April 1989 - 25 April 1994
 
10) Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman
Mangkat : 27 Dis 2008
Ditabal: 22 Sept, 1994
Tempoh Jawatan: 16 April, 1994 - 25 April, 1999
 
11) Sultan Selangor
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah
Mangkat: 21 Nov 2001 (mangkat semasa memerintah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-11)
Ditabal: 23 Sept 1999
Tempoh Jawatan: 26 April 1999 - 21 Nov 2001
 
12) Raja Perlis
Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail
Ditabal: 25 April 2002
Tempoh Jawatan: 13 Dis 2001 - 13 Dis 2006
 
13) Sultan Terengganu
Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
Ditabal: 26 April 2007
Tempoh Jawatan: 13 Dis 2006 - 12 Dis 2011
 
14) Sultan Kedah
Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah (Dilantik untuk kedua kali)
Ditabal:
Tempoh Jawatan: 13 Dis 2011
- Bernama

Tiada ulasan:

KELANTAN TV by Serambi Media Network

LIVE Sidang Dewan Rakyat

LIVE BOLASEPAK KELANTAN


Video streaming by UstreamHakcipta Terpelihara © 2013 Perbadanan Stadium Kelantan
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Serambi Media Network (Kelantan TV News). Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman