31 Oktober 2012

Kerajaan Kelantan merakamkan ucapan tahniah kepada polis 

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakamkan ucapan tahniah kepada polis berikutan kejayaan pasukan itu membanteras kegiatan jenayah di negeri ini. Rakaman ucapan tahniah itu disampaikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada sidang media khas selepas mesyuarat exco di Kota Darulnaim, di sini tengah hari tadi. Beliau juga turut melahirkan rasa terharu di atas kesungguhan anggota berkenaan menjaga keamanan di negeri ini sehingga terpaksa mengorbankan diri demi keamanan rakyat. “Kebetulan tadi saya ada menghubungi Ketua Polis Kelantan untuk bertanya khabar tentang kejadian tembakan semalam, kebetulan Ketua Polis berada di luar Kelantan,” ujarnya. Beliau juga berkata, sekiranya rakyat berpuas hati dengan kecekapan anggota polis menembak mati penjenayah, kenapa ada umat Islam sendiri yang tidak senang dengan hukum hudud. Lagipun, tambahnya hukum hudud yang dikenakan pesalah tidak sampai mati bagi yang mencuri hanya memotong tangan sahaja. Sementara itu, Tuan Guru turut meluangkan masa menziarahi anggota polis Koperal Mat Ridwan Mat Hassan, 50 dan Lans Koperal, Mohd Shamsul Anuar Mohd Adnan tengah hari tadi. Kedua mereka kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab ll. Shamsul ditembak oleh salah seorang penjenayah ketika menyertai sekatan jalan raya di hadapan Balai Polis Paloh 2, Gua Musang, pagi semalam. Ridwan pula ditembak sewaktu berbalas tembakan dengan penjenayah yang dipercayai ada kaitan dengan kes tembakan yang melibatkan anggota polis, Shamsul di Gua Musang. Kejadian berlaku di Cabang Tiga Kemuning, Machang. Penjenayah tersebut bagaimanapun mati ditembak.

Peneroka Felda mangsa perniagaan Saham kroni BN

- Apalah sangat dengan projek Lembah Sirih

Semasa penyenaraian Felda melalui Felda Global Ventures Holdings Bhd (FVGH) baru-baru ini, hanya 90 juta unit saham sahaja diperuntukan untuk 112,635 peneroka seluruh negara. Setelah dibahagi-bahagi sama banyak maka satu keluarga peneroka hanya dapat 810 unit saham FGVH dengan harga RM4.55 sen. Bayaran untuk membeli saham itu pula, dikatakan pihak peneroka disuruh meminjam di CIMB (bank milik adik Perdana Menteri). Kesannya, tiadalah untung sangat, kerana peneroka kena membayar balik pinjaman mereka dari CIMB.

Ini bermakna purata seorang peneroka dianggar memiliki 800 unit saham itu dan jika sejumlah saham itu dijual dalam sehari dua untuk membayar balik pinjaman (kepada) CIMB, maka satu keluarga akan untung sekitar RM500-600, sedangkan orang lain (sebilangan kroni BN) yang telah diperuntukan jutaan saham telah mendapat jutaan ringgit untung dalam sekelip mata sahaja.

Sementara ketika dipasarkan di Bursa Malaysia pada 28 Jun yang lalu, urus niaga FGVH ditawar pada harga RM5.39. Ia dikatakan tidak memberi apa-apa makna kepada peneroka.

Ada saham judi

Pengerusi Pertubuhan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan  telah menunjukkan statistik yang dikeluarkan Bloomberg Peers, menunjukkan senarai syarikat berkaitan judi di Genting Highland, Genting Berhad dilapor terbabit memiliki 407,005,000 yang jika dijumlahkan bernilai hampir RM 2 bilion.

Sementara itu, Mazlan turut mendesak pihak berkaitan, terutama penafian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan agar memikirkan secara serius berhubung kedudukan saham FGV yang kini berada pada tahap RM 4.75.

Sementara itu, dana orang ramai yang di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut terlibat membeli 2.2 juta saham FGVH pada saat harga sahamnya tenggelam ke paras terendah yang ditutup pada RM4.68 sesaham atau hanya 13 sen di atas harga pengeluaran. Menurut pengajuan Bursa Malaysia, pegangan dana pencen terbesar negara di FGVH telah meningkat 5.4 peratus sejak 3 September, sehari sebelum FGVH menjunam di bawah tanda RM5.

Dana pencen (kakitangan awam) itu juga baru-baru ini membelanjakan RM2.4 bilion untuk mengambil alih tanah Institut Penyelidikan Getah di Sungai Buloh yang akan bertukar menjadi sebuah perbandaran. Kesemuanya atas keputusan siapa, adakah pihak yang berkaitan dengan kroni BN?

Dijangka terus jatuh

“Keuntungan RM1 sesaham itu sangat kecil kerana peneroka terpaksa membayar yuran proses dan kos guaman menyertai FGVH.

“Kalau untung RM3 sesaham baru peneroka mendapat sedikit keuntungan. Dari urus niaga awal ini, yang untung besar ialah Tan Sri Isa Samad dan kroni-kroninya yang mendapat banyak saham FGVH,” kata Suhaimi Said, Ketua Biro Felda dan Orang Asal Parti KeADILan.

Peneroka bakal menanggung kerugian besar apabila prestasi saham FGVH semakin menjunam jatuh walaupun baru dua bulan tersenarai di Bursa Saham. Penasihat Ekonomi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Dr Rosli Yaakop berkata, penganalisis meramalkan pasaran saham mungkin akan kekal lemah dalam tempoh sehingga enam bulan dan boleh jatuh di bawah harga par RM4.55 seunit.

“Penurunan harga saham sangat besar sehingga mencapai 20 sen dalam masa seminggu. Keadaan ini jarang berlaku pada mana-mana syarikat kukuh,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Gajah sarkas

Berdasarkan pelan penyenaraian asset Felda (baca peneroka) yang begitu kontroversi, maka ada pihak melihat cara layanan perdana menteri dan pengerusi Felda terhadap para peneroka Felda seumpama ‘gajah sarkas’. Peneroka dijamu dan djanjikan dengan kenikmatan untung besar (baca makan besar), sedangkan hakikatnya pengajur sarkas mengaut untuk tiket pertunjukan yang berganda-ganda.

Kesian kepada peneroka, tatkala tanah dan ladang sepatutnya diwarisi, kini sudah terapung kepada pelabur-pelabur yang menawarkan untung lumayan. Apa kesudahannya?
Harapnya tidaklah peneroka benar-benar menjadi peliharaan (gajah sarkas) yang mudah diatur oleh mereka (penganjur sarkas––baca pemimpin yang rakus), ke mana sahaja akan di bawa demi untung melimpah ruah pihak sang kroni mereka.

Apalah diheboh projek Lembah Sirih di Kelantan

Sehari dua ini, heboh tentang Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang menegur tadbir urus kerajaan, termasuklah Kerajaan Kelantan berhubung Projek Pembangunan Lembah Sirih. Kononnya kerajaan Kelantan tiada mendapat apa-apa hak dari pihak pemaju sebagaimana perjanjian. Lalu muncullah ’murai Umno’ berkokok dan melalak mendesak.

Tujuan tidak lain agar rakyat Kelantan meragui tentang keupayaan kerajaan negeri mengendali projek secara pelaburan swasta yang bernilai lebih daripada RM2 billion yang terletak di Lembah Sungai Kelantan itu. Ia melibatkan tanah yang ditebusguna hasil limpahan (mendapan pasir) seluas 400 hekter. Tanahnya diusahakan secara pajakan (bukan dijual) dan pemiliknya tetap kerajaan negeri.

Apalah sangat dengan keluasan itu dibandingkan dengan tanah Felda Plantation yang melibatkan kepentingan 112 ribu peneroka yang keluasannya 360,000 hekter (Jadual di sebelah)?

Sementara Lembah Sirih yang dulunya dimanfaatkan untuk puluhan keluarga sahaja, tetapi kini dengan siapnya kira-kira 50% sudah berjaya membuka peluang pelbagai aktiviti kepada lebih 3,000 orang. Ia berlaku dengan positif berikutan wujudnya Tesco (pasaraya), Kolej Masterskill (pendidikan), Kolej PTPL (Pendidikan), terminal bas (ekspres ke Pantai Barat dan KL-Selatan), deretan gudang, pusat rekreasi di tepi sungai dan pelbagai kios untuk usahawan Bumiputera.

Apakah sang murai Umno tergamak untuk menyekat rezeki yang sudah di depan mata atas semata-mata dengki dengan keupayaan kerajaan Negeri di bawah pimpinan ulama, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz?

Rakyat pasti bijak menilai mana benarnya antara suara murai dengan apa yang berlaku di depan mata.

16 Oktober 2012

Kelantan isytihar 21 Okt cuti peristiwa

KOTA BHARU: Kelantan mengisytiharkan 21 Oktober ini cuti peristiwa sempena perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara pasukan negeri itu dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 20 Oktober di Shah Alam.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan & NGO Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood (gambar) pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar, JKR 10 di sini, sebentar tadi.
“Tok Guru (Nik Abdul Aziz Nik Mat) berharap orang ramai yang ingin ke Shah Alam menyaksikan perlawanan akhir ini dapat berada dalam keadaan selesa pergi dan balik dan sentiasa mematuhi aturan jalanraya agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini,” ujar beliau.
Beliau juga berharap rakyat Kelantan menjaga disiplin ketika menyaksikan perlawanan akhir tersebut agar imej negeri Kelantan dilihat sebagai sebuah negeri yang berdisiplin.
Abdul Fattah juga berkata cuti peristiwa ini adalah kali kedua dalam tahun ini selepas Kelantan berjaya memasuki akhir Piala FA yang bertemu dengan Sime Darby pada 20 Mei lalu
Bagi kali ini pula, Abdul Fattah berkata langkah mengumumkan cuti peristiwa lebih awal kerana ia mengambil kira juga musim peperiksaan di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Jabatan Pelajaran Negeri
Menyentuh ganjaran yang kerajaan sediakan untuk The Red Warriors kali ini, Fattah berkata ia sudah ada dalam perancangan kerajaan negeri namun dari segi jumlah tidak dapat diberitahu lagi.

10 Oktober 2012

Aktivis Royalti terima ancaman bunuh

Salmah Mat Husain, 10 Okt 2012
PENGKALAN CHEPA: Seorang aktivis Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R), menerima ugutan bunuh melalui laman sosial Facebook miliknya.

Aktivis tersebut yang lebih dikenali sebagai Jeming Hassan, 25, mengakui menerima beberapa ugutan bunuh dan pukul dalam laman social ‘facebook’ beberapa hari selepas perlawanan bola sepak separuh akhir pertama antara Kelantan dan Selangor baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda R Negeri berkata, kandungan yang terdapat dalam facebook itu antaranya akan memukul beliau sehingga mati andainya terjumpa khususnya pada perlawanan bola sepak Kelantan menentang Selangor di Stadium Shah Alam pada 12 Oktober ini.

Ekoran itu satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, di sini petang semalam.

“Laporan polis ini dibuat bagi memaklumkan kepada pihak mereka supaya membuat tindakan kepada pihak berkenaan memandangkan telah dua kali menerima ugutan pukul,”ujarnya.


Pada masa yang sama Jeming memberitahu laporan itu juga dibuat memandangkan aktivis R sebelum ini yang dipukul juga menerima ugutan sebelum mereka benar-benar dipukul.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap laporan berkenaan begitu juga laporan yang sama pernah dibuat sebelum ini.

“Kami tahu ugutan itu dibuat bagi menghalang kami menuntut hak royalty minyak rakyat Kelantan.

“Bagaimanapun ianya tidak akan mematahkan semangat pihak kami,”ujarnya.

Turut hadir di IPD, Kota Bharu Pengerusi Solidariti Anak Bachok Tuntut Royalti dan Pendaratan Minyak (Cabar) Ahmad Marzuk Shaari dan wakil Gerakan Mahasiswa Pantaia Timur (Gempur Mohd Zahiruddin Abdullah.

  Harakahdaily

Halakan senapang kepada musuhmu...



KUALA LUMPUR: Semua ahli dan pemimpin PAS dinasihatkan supaya "Halakan peluru kepada musuhmu dan jangan kamu halakan muncung senapangmu kepada kawanmu."

Nasihat ini dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Nasihat itu dikeluarkan dalam posting terbaru Facebooknya hari ini.

“Halakan peluru kepada musuhmu, dan jangan kamu halakan muncung senapangmu kepada kawanmu. Walau tiada peluru di dalamnya sekalipun,” tulis Tuan Ibrahim di laman Facebooknya.

Bagi beliau, tiada perlu yang diulaskan mengenai nasihat di atas, yang pastinya para pemimpin PAS dan ahlinya faham maksud tersirat yang perlu disampaikan.

Harakahdaily,

Konvoi Kembara Volkswagen Kelantan sempena Tahun Melawat Kelantan 2012



YAB Tuan Guru pagi tadi melepaskan peserta Konvoi Kembara Volkswagen Kelantan sempena Tahun Melawat Kelantan 2012 di Dataran Padang Merdeka Kota Bharu. Konvoi Kembara Volkswagen ini akan bergerak ke Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Melaka
untuk mempromosikan Tahun Melawat Kelantan 2012. Sebanyak 22 biji kereta Volkswagen sempena 22 Tahun Kelantan di bawah kepimpinan YAB Tuan Guru. Hadir sama pada program ini ialah YB. Dato' Takiyuddin Hassan Exco Pelancongan Negeri Kelantan.

Facebook Rasmi Mursyidul Am Parti Islam SeMalaysia (PAS)

KELANTAN TV by Serambi Media Network

LIVE Sidang Dewan Rakyat

LIVE BOLASEPAK KELANTAN


Video streaming by UstreamHakcipta Terpelihara © 2013 Perbadanan Stadium Kelantan
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Serambi Media Network (Kelantan TV News). Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman