27 November 2012

Sidang Media Dato' Takiyuddin Hassan Berkenaan Isu Kedai Gunting Rambut.

Sidang Media YB Dato' Hj Takiyuddin Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam berkenaan isu kedai gunting rambut.

21 November 2012

Gaza: Mahasiswa anjur demo Jumaat ini



KUALA LUMPUR: Gabungan mahasiswa akan mengadakan himpunan besar-besaran di hadapan Kedutaan Rasmi Arab Saudi, 23 November ini bagi mendesak negara pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) itu menyatakan pendirian tegas berhubung serangan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza.

Himpunan yang menggabungkan beberapa kumpulan mahasiswa dan dinamakan sebagai Himpunan Solidariti Mahasiswa & Anak Muda untuk Gaza itu akan berhimpun di hadapan Masjid Tabung Haji selepas solat Jumaat sebelum berarak ke bangunan kedutaan.

Menurut Naib Presiden Strategik & Mobilasi Massa Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), himpunan tersebut memilih tema pakaian hitam sebagai tanda berkabung kepada rakyat Gaza yang dibunuh, dibom dan dizalimi.

Justeru beliau yang juga jawatankuasa koordinator himpunan mengajak semua mahasiswa untuk bersama-sama menunjukkan solidariti kepada rakyat palestin.

"Koordinator penganjur meletakkan sasaran 2,000 ribu orang untuk hadir dan bersolidariti pada himpunan nanti.

"Saya menyeru seluruh mahasiswa dan anak muda untuk sama-sama bersolidariti dalam himpunan ini tanpa mengira perbezaan kaum dan batas agama kerana isu ini melibatkan isu sejagat dan hak asasi manusia. Kita sangat mengalu-alukan mana-mana pertubuhan, NGO, persatuan mahasiswa dan anak muda untuk bersama dalam himpunan Jumaat nanti," katanya kepada Harakahdaily.

Antara kumpulan yang akan bersama-sama ialah Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI), Demi Mahasiswa Kuis (DMK), Sister In Movement (SIM), Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA), Pro-Mahasiswa Nasional (PRO-MN), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM), Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM), Maaruf Club UIAM dan Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM).

14 November lalu, Israel melancarkan serangan ketenteraan yang dinamakan Operasi “Pillar of Defence”, ke atas Wilayah Palestin di Gaza meliputi pengeboman dan serangan udara dan laut.

 Harakahdaily

Perang siber ke atas Israel sempena konflik Gaza

(Imej yang muncul di kebanyakan laman web Israel yang dilaporkan telah digodam oleh Anonymous)
Lebih daripada 44 juta cubaan penggodaman telah dibuat ke atas laman web kerajaan Israel sejak Israel mula melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza hampir seminggu lalu.

Angka tersebut yang dikeluarkan oleh kerajaan Israel menunjukkan bahawa cubaan tertinggi adalah ke atas laman web berkaitan pertahanan, manakala 10 juta percubaan telah dibuat ke atas laman web presiden, tujuh juta percubaan ke atas kementerian luar dan tiga juta percubaan ke atas laman web Perdana Menteri.

Menteri Kewangan Israel, Yuval Steinitz berkata hanya satu cubaan penggodaman yang berjaya ke atas laman web yang tidak akan dinamakan, tetapi ia berfungsi semula selepas 10 minit.

Anonymous, sebuah kumpulan aktivis siber antarabangsa, telah mengepos ke internet  satu senarai mengandungi hampir 700 laman web Israel yang didakwa telah disasarkan, dirosakkan dan diganggu dalam tindak balas kepada serangan udara ke atas Gaza.

Salah satu sasaran paling utama kempen "OpIsrael" adalah program pembangunan antarabangsa Kementerian Luar, Mashav.

Dalam satu pengumuman di Twitter, Anonymous mendakwa telah mengganggu pangkalan data dalaman laman web tersebut.

Pada pagi Khamis, Anonymous mengeluarkan kenyataan yang memanggil penggodam lain untuk membantu melumpuhkan dan merosakkan laman web yang berkaitan atau dimiliki kerajaan atau tentera Israel.

Antara sasaran berprofil tinggi kumpulan Anonymous adalah laman web Parti Kadima di Israel, yang berada di luar talian sejurus selepas digodam, dan juga Bank of Jerusalem.

Kebanyakan laman web yang digodam memaparkan imej tiada paparan, tetapi selebihnya memaparkan imej dan mesej pro-Palestin.

Seorang jurucakap kementerian Israel berkata bahawa walaupun serangan muncul dari serata dunia, namun serangan tinggi muncul dari Israel dan wilayah Palestin.

"Jabatan komputer kementerian akan terus menghalang jutaan serangan siber," ujar Steinitz katanya. "Kami sedang menikmati hasil pelaburan kami beberapa tahun kebelakangan ini dalam membangunkan sistem pertahanan berkomputer."

Steinitz telah mengarahkan kementeriannya untuk beroperasi dalam mod kecemasan untuk menangani percubaan melemahkan laman web kerajaan.

Kedua-dua pihak dalam konflik Gaza, terutamanya Israel, menggunakan media sosial sebagai salah satu alat peperangan.

Tentera Israel telah muncul di hampir setiap platform yang wujud, manakala pejuang Palestin aktif di Twitter.

"Peperangan ini berlaku dari tiga segi. Yang pertama adalah fizikal, yang kedua ialah dalam dunia rangkaian sosial dan ketiga adalah siber," kata Carmela Avner, ketua pegawai maklumat Israel.

Harakahdaily

Yayasan Amal hantar misi kemanusiaan ke Gaza


KUALA TERENGGANU: Yayasan Amal Malaysia akan menghantar misi kemanusiaan ke Gaza dalam masa yang terdekat untuk menyampaikan dana bantuan kepada rakyat Palestin.

Pengerusi Yayasan Amal Terengganu, Suhazeli Abdullah dalam kenyataanya berkata, misi untuk menyampaikan dana ini bertujuan untuk membaiki keadaan di sana yang semakin teruk.
Yayasan Amal mempunyai rekod yang sangat banyak tentang penglibatan mereka di kawasan yang bertelingkah danbencana alam.

Mereka mempunyai pengalaman yang sangat banyak dalam kerja-kerja kemanusiaan di kawasan sebegini.

"Yang terbaik bagi kita adalah jihad di jalan Allah, kerana itu adalah jalan yang tebaik.

"Tetapi bagi kita, rakyat Malaysia yang tidak berpeluang untuk pergi bersama saudara-saudara kita di Palestin, menjadi kewajipan kepada kita menghulur apa jua bentuk bantuan," katanya.

Justeru, Yayasan Amal menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat negeri Terengganu bersama-sama berganding bahu menggembeling tenaga dan wang ringgit bagi membantu rakyat palestin.

Sumbangan kepada Yayasan Amal boleh dibuat melalui Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Cawangan Kuala Terengganu No. Akaun 13017010824095 atau melalui wakil-wakil kami yang akan datang ke tempat-tempat saudara.

Dalam kenyataan medianya,Yayasan Amal Terengganu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan 'negara haram' Israel menyerang dan mengebom semenanjung Gaza yanng mengakibatkan ratusan orang awam, kanak-kanak dan wanita menjadi mangsa.

Sudah masuk hari ke tujuh rakyat Palestin dibom bertubi-tubi dengan jet-jet pejuang dan peluru-peluru berpandu dari angkatan laut Israel laknatuLlah, menyebabkan kemusnahan yang dahsyat kepada infrastruktur Semenanjung Gaza.

Sehingga kini, lebih 120 orang telah terbunuh dan hampir seribu orang tercedera, termasuk para petugas media yang menjadi mangsa kekejaman regim Israel.

"Oleh itu Yayasan Amal menyeru masyarakat antarabangsa mengambil apa jua usaha untuk menekan Israel supaya menghentikan pemusnahan dan tindakan zalim terhadap rakyat Palestin dengan segera," katanya.

Selaku manusia bertamadun, langkah-langkah perlu diambil untuk mengembalikan keamanan di Palestin dan semua umat didunia adalah bertanggungjawab atas kematian wanita dan kanak-kanak Palestin sekiranya hanya memandang sepi dan berpeluk tubuh melihat tindakan ganas Israel.

"Marilah kita bersama-sama berdoa dan bermunajat agar saudara-saudara kita di Palestin diberikan kekuatan dan keberkatan serta rajmat daripada Allah dalam menempuh dugaan ini," katanya

Harakahdaily

AES: Bayar di mahkamah, bukan dengan polis, kata Pemuda PAS

KUALA LUMPUR, 21 Nov — Pemuda PAS menyeru orang ramai supaya membayar saman yang dikenakan oleh Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di mahkamah dan bukan kepada polis, kata pengarah undang-undang dan hak asasi manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS, Ahmad Zamri Asaad Khuzaimi.

Menurut Ahmad Zamri, apabila membayar saman di mahkamah, wang tersebut akan dimasukkan ke kumpulan wang yang disatukan dan seterusnya akan disalurkan kepada dana kerajaan, bukannya disalurkan kepada syarikat swasta.
“Saya melihat agak aneh bila undang-undang dikuatkuasakan oleh syarikat swasta.
“Apabila syarikat swasta menguatkuasakan undang-undang, secara tak langsung mereka mahu membuat untung atas angin ke atas rakyat,” kata Ahmad Zamri hari ini selepas membuka kaunter penerangan dan bantuan mengenai saman AES di ibu pejabat PAS hari ini.

Kaunter tersebut dikelolakan oleh Juham Dewan Pemuda PAS dan badan bukan kerajaan (NGO) Kempen Anti Saman Ekor (Kase).
Sementara itu, ahli jawatankuasa unit Parlimen, Penyelidikan dan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS, Dr Zulqarnain Lukman berkata, sejak pengenalan AES, 65,000 saman telah dikeluarkan.
“Dari hujung September ke November ini sudah 65,000 saman dikeluarkan.
“Bayangkan setiap 65,000 saman ini, setiap RM16 akan diberikan kepada syarikat swasta ini,” kata Zulqarnain lagi.

Dalam perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010, kementerian pengangkutan berkata urusan itu akan dikendalikan oleh Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd dan bukan dikendalikan oleh Jabatan Pengangkutan Awam (JPJ) atau polis.
Kedua syarikat tersebut didakwa oleh pihak pembangkang sebagai syarikat kroni yang mempunyai kaitan dengan Umno dan MCA.

Bagaimanapun timbalan menteri pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha menafikan dakwaan tersebut dan berkata proses pemilihan tender untuk AES dijalankan secara telus.

 The Malaysian Insider

Empat pekerja maut, empat lagi cedera dirempuh treler

IPOH: Empat pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel) maut manakala empat lagi rakan sekerja mereka cedera selepas dirempuh sebuah treler yang membawa muatan coklat di Kilometer 294.1 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gopeng, awal hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohamad Shukri Dahalan berkata kemalangan berlaku pada 4.30 pagi ketika lapan pekerja Propel itu sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di lorong kiri lebuh raya berkenaan.



Sebelum itu, treler dari arah Johor Bahru ke Ipoh yang hilang kawalan itu merempuh kereta Proton Iswara, MPV Mitsubishi Triton, van dan lori kecil milik pekerja Propel itu yang diletak di lorong kecemasan sebelum melanggar lapan pekerja terbabit, katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini. - Bernama

18 November 2012

PAS Lancar Touch n Get (TnG)

PENGKALAN CHEPA, 17 Nov - Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merasmikan satu aplikasi untuk ahli PAS yang menggunakan smartphone di muktamar tahunan parti itu.
Aplikasi yang dikenali sebagai PAS Touch n Get (TnG) itu dibangunkan oleh Jabatan IT PAS Pusat boleh dimuat turun dari laman web http://www.pas.org.my/TnG.
Tujuh menu disediakan dalam aplikasi itu ialah Berita, Kenali PAS, Aktiviti PAS, Webtv, Facebook, Twitter, dan Extra.
Dalam menu berita mengandungi berita Harakah, berita mengenai PAS Pusat, Ulamak PAS Pusat, Pemuda PAS Pusat, Muslimat PAS Pusat, Presiden PAS.
Portal seperti Tranungkite, Malaysiakini, Keadilan Daily, Bernama, Islam Online, dan Al-Jazeera boleh diakses menggunakan aplikasi ini.
Dalam menu Kenali PAS mengandungi sejarah, misi, visi, perlembagaan, pimpinan, keahlian, lagu rasmi, hubungi, direktori Pejabat PAS Negeri dan Kawasan.
Dalam menu WebTV mengandungi semua chanel Web tv PAS.
Dalam menu Facebook dan Twitter pula semua ahli PAS Pusat, Ulamak Pusat, Pemuda Pusat, Muslimat Pusat, Harakah Daily, Mursyidul Am, dan Presiden PAS boleh diakses.
Akhir sekali, menu Extra mengandungi bahagian semakan pemilih, A-Mathurat, Hadith Arbain, Doa Harian, dan Buku Jingga.

DHPP Sedia Turun Bantu Jentera PAS


PENGKALAN CHEPA, 17 Nov - Perwakilan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) hari ini menyatakan mereka akan terus menyokong penuh perjuangan PAS.

Memegang terus tagline 'PAS For All', DHPP memuji usaha yang dilaksanakan Lajnah Perpaduan Nasional PAS dalam memartabatkan penubuhan dewan itu.

Katanya, sebelum penubuhan kelab penyokong PAS pada 2008 lagi, pelbagai tohmahan dilemparkan kepada PAS untuk menakut-nakutkan golongan bukan Islam mendekati parti itu.

Beliau yang mewakili sayap baru dalam PAS itu memberitahu, mereka (ahli DHPP) selalu dimomokkan dengan paksaan pertukaran agama, ketiadaan tempat ibadat sekiranya terus menyokong PAS.

DHPP yang dinaik taraf daripada Kelab Penyokong PAS pada 23 Mei 2010 telah menetapkan objektif utamanya adalah merapatkan hubungan di antara kaum untuk memurnikan maklumat kepada golongan bukan Islam.

Sedia membantu PAS dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang, DHPP meminta PAS menyenaraikan dewan itu sebagai jentera yang turut sama membantu kemenangan PAS.
"DHPP bersedia menjadi tentera perjuangan Islam, kerana kami faham Islam untuk semua,
"Panggillah kami (DHPP) turun sama bantu... kami faham kerana kami sudah ditarbiahkan," tegas beliau lagi.

  Jabatan IT

17 November 2012

Muktamar PAS ke-58 pecutan akhir PRU13 bermula di Kota Bharu

PAS negeri Kelantan sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah Muktamar PAS ke-58 yang akan diadakan mulai 2-4 Muharam 1434 (16-18 November 2012). Kebetulan muktamar kali ini diadakan agak lewat berikutan penangguhan dari yang sepatutnya pada Jun lalu. Penangguhan itu ada kaitannya dengan persiapan dan mood pilihan raya umum ke-13 (PRU13) sedang mempengaruhi gerak kerja PAS di semua peringkat. 
Apa pun, Muktamar PAS ke-58 kali adalah bertepatan dan sesuai diadakan di Kota Bharu, Kelantan kerana sekarang ini Kelantan sedang dalam kempen Tahun Melawat Kelantan 2012. Ia berlaku lagi seiringan dengan sambutan Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada 11 November lalu. Tambah diserikan lagi dengan bulan ini juga berlakunya sambutan awal Tahun Hijrah 1434 pada 14 November lalu. Malah muktamar kali ini juga cukup harmoni kepada para perwakilan yang mengambil kesempatan mengunjungi negeri Serambi Mekah bersempena musim cuti persekolahan ini.
Kesemua senario tersebut sudah tentu menggamit nilai-nilai kewajaan kepada semua perwakilan yang bakal menyumbang pandangan dan hujahan bernas sepanjang muktamar di Dewan Besar PUTIK, Pengkalan Chepa. 
Pecutan PRU13 menuju Putrajaya
Meskipun demikian, sepanjang minggu lalu pihak media pro-kerajaan Barisan Nasional begitu sibuk mencanang pelbagai isu yang berniat untuk mengatifkan perbahasan Muktamar PAS ke-58 ini. Kononnya ada beberapa pihak kalangan lebih 1,100 perwakilan PAS dari seluruh negara akan mengambil peluang untuk membangkit isu-isu yang mereka tidak puas hati terhadap pendirian parti. Media berkenaan cuba merendah-rendah pemikiran perwakilan, kononnya ada sebahagiannya (semacam kumpulan majoriti) tidak senang dengan pendirian DAP mengenai Islam dan hukum hudud. Malah ada juga media berkenaan yang cuba melaga-laga kalangan pimpinan utama PAS, satu pihak dicap sebagai pendukung Anwar (kononnya puak Anwarinas) ada pula yang anti-Anwar (kononnya puak PAS totok). Justeru media tersebut meramalkan akan berlaku ribut besar sepanjang muktamar nanti. Demikianlah mainan media yang sentiasa tidak senang dengan kestabilan PAS kini, terutama saat menjelang PRU13.
Walau bagaimanapun, pendirian PAS Pusat, malah setiap PAS kawasan seluruh negara, pastinya meletakkan Muktamar PAS ke-58 kali ini sebagai medan terbaik membina keyakinan dan kemantapan, demi pecutan ke garis kemenangan PRU13 menuju Putrajaya. Justeru fokus isu dan komitmen perwakilan tidaklah elok untuk terpengaruh dengan gendang dipalu musuh dan isu yang dihangatkan media pro-parti lawan.  Malahan tidak mustahak sama sekali bagi para perwakilan membelek-belek parut dan kudis dalaman sendiri ketika musuh sedang terkial-kial menahan sakit dan sengsara, tatkala tarikh PRU13 sedang diperjalanan. Rasionalnya, bulatkan tekad dan bangkitkan permuafakatan sejati atas nilai-nilai jemaah bagi membuahkan program dan pendekatan serta melancarkan strategi menggempur Umno dan Barisan Nasional di akar umbi.
Ia sesuai dengan senario muktamar di Kelantan, negeri sulung dan ulung PAS sudah berkuasa. Pastinya di sebalik nilai ‘sulung dan ulung’ itu para perwakilan seluruh Negara boleh menemukan banyak titik persefahaman bagi membulatkan tekad memacu kebangkitan dalam usaha merobohkan benteng Umno dan Barisan Nasional di negeri masing-masing.
Utamakan isu-isu PRU13
Berbekalkan tema muktamar ‘Negara Berkebajikan Teras Perpaduan’ sudah tentu banyak isu yang harus dikupas dan difahami oleh perwakilan guna untuk diperturunkan ke peringkat akar umbi era pecutan PRU13 ini. Isu adalah nadi dan gerak saraf mujarab bagi merapati rakyat dan meraih sokongan baru para pengundi. Lebih-lebih lagi saat PRU13 ini, bilangan pengundi muda, termasuk golongan pengundi pertama agak besar bilangannya. Sudah pasti olahan isu dan kupasan yang bernas akan dapat menghubungkan antara matlamat perjuangan PAS bersama Pakatan Rakyat dalam membina harapan baru untuk mengubah masa depan politik negara. Pengundi muda adalah aset termahal buat PRU13 ini. Justeru isu-isu yang berlegar dalam kelompok sosioekonomi mereka amat penting dibulatkan tekad para perwakilan untuk berbahas dan berhujah sepanjang muktamar.
Sehubungan itu, para perwakilan amat wajar membangkitkan selain isu-isu memperkemaskan gerak kerja dan persiapan pilihan raya ialah membangkit persoalan kepincangan dasar dan program ekonomi dan sosial serta integriti kerajaan Barisan Nasional Di antaranya yang terbaru sedang hangat adalah isu saman AES yang mencekik rakyat, saham FGVH yang sedang merundum, rasuah pemimpin Barisan Nasional, dan keceloparan pemimpin MCA yang menolak perlaksanaan Islam.

Tidak kurang penting juga ialah para perwakilan hendaklah turut menyeragamkan pendekatan berbahas untuk membalas segala serangan Umno dan Barisan Nasional secara positif. Ia boleh dilakukan menerusi penyelarasan isu-isu kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat. Olahannya hendaklah mampu menjawab segala tohmahan negatif Umno mahupun MCA tentang masa depan orang Melayu dan Islam.
Termasuklah juga pentingnya membangkit isu-isu politik diskriminasi (pihak Pusat) terhadap Negeri Pakatan Rakyat, sebagaimana isu tuntutan royalti petroleum negeri Kelantan,  kadar royalti petroleum yang rendah, isu empangan air Langat 2 di Selangor, isu pembayaran geran untuk negeri-negeri dan hak-hak negeri yang di kesampingkan seperti hak penyiaran radio dan televisyen.
Malah amat penting diselaraskan pendekatan menjawab isu tuduhan pihak Umno tentang DAP yang dikatakan anti-Islam, sedangkan kerajaan Pulau Pinang jelas memberi layanan yang lebih baik kepada pembangunan Islam selama 4 tahun kebelakangan ini. Kejayaan Ketua Menteri, Lim Guan Eng memeperuntukan lebih RM60 juta untuk hal ehwal Islam berbanding masa kerajaan Barisan Nasional hanya sekitar RM26 juta adalah suatu realiti yang membuktikan Pakatan Rakyat lebih adil untuk Islam di Pulau Pinang.
Demikian pula kesungguhan Kerajaan Kelantan dalam mendepani diskriminasi Pusat yang telah menafikan hak rakyat Kelantan menikmati pembinaan lebuh raya menyebabkan kerajaan negeri pimpinan Tuan  Guru Dato’ Nik Abdul Aziz melancarkan Lebuh Raya Rakyat tanpa tol. Ia telah memuncakkan sokongan rakyat tatkala pembangunan berkonsepkan wakaf telah dilancarkan.
Sementara itu, dalam beberapa isu yang dapat dikongsi sama antara PAS negeri-negeri, maka adalah wajar ia dapat dibincang dan disepakati dalam konteks penyampaian dan hujahan untuk diterima rakyat. Antara isu itu ialah persoalan gerakan Bersih dalam konteks pilihan raya yang adil, isu Lynas dalam konteks alam sekitar yang lestari, isu anak-anak peneroka Felda, dan tidak kurang penting adalah hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak. 

Kesemuanya adalah intisari dan rumusan strategik yang boleh dilakukan selama Muktamar PAS ke-58 di Kota Bharu kali ini. Justeru itu para perwakilan seharusnya tidak terpengaruh dengan provokasi media tertentu yang sengaja cuba mencetuskan suasana kelam kabut sepanjang perbahasan di muktamar kali ini.
 

PAS Tingkat Capaian Maklumat Hadapi PRU 13

PENGKALAN CHEPA, 16 Nov - PAS tidak mendapat liputan yang adil dalam media arus perdana adalah faktor sabotaj yang digunakan oleh Barisan Nasional (BN) untuk terus kekal sebagai kerajaan pusat.
"Harakah yang menjadi lidah rasmi PAS pula hanya dihadkan kepada ahli dan tidak diberikan permit keluaran harian," kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar muktamar pagi tadi, Abdul Hadi menyatakan yang PAS siap meningkatkan penyampaian maklumat bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 menggunakan .
Menjawab persoalan media berkenaan persiapan PAS menghadapi pilihan raya akan datang, Presiden PAS itu menjelaskan,

"Walau pun masih belum sempurna dalam penyampaian maklumat kepada rakyat, anak-anak muda yang bekerja di bandar membantu menjadi agen PAS bagi menyampaikan maklumat," jelasnya.
Pilihan raya umum yang lalu menyaksikan perubahan berlaku di kalangan rakyat sehingga menyebabkan PAS dan Pakatan Rakyat berjaya menawan empat buah negeri.
Perubahan ini turut berlaku di kawasan yang sukar mendapat maklumat terutamanya di kawasan pinggir bandar.

02 November 2012

Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bebankan Rakyat?


Sistem Penguatkuasaan Automatik atau Automated Enforcement System
(AES) yang telah dilancarkan baru-baru ini memang ada pro dan kontra
untuk mengurangkan kesalahan lalu lintas dan juga mengurangkan
kemalangan di jalanraya tetapi yang menjadi persoalannya sekarang
adakah ianya benar-benar membantu atau membebankan rakyat.
Mungkin sekiranya digunakan secara betul dan bertanggungjawab, boleh
jadi ianya membantu mengurangkan kesalahan lalu lintas tetapi
sekiranya disalahgunakan semata-mata untuk mencari keuntungan hasil
dari mendenda rakyat sudah pasti rakyat akan jadi mangsanya.

Dengan adanya AES ini pengguna jalanraya akan lebih berhati-hati untuk
mengelak dari disaman tetapi adakah ianya akan memberi kesan kepada
pengguna jalanraya yang memang jenis degil dan sukar untuk mengubah
tabiat mereka yang suka memandu laju.
Sepatutnya rakyat kita dididik dari peringkat awal persekolahan lagi
agar sentiasa berdisiplin di jalanraya. Mungkin sistem jalanraya kita
juga salah satu punca menyebabkan pemandu terasa tertekan.
Kita selalu mendengar cara kerajaan untuk mendidik rakyat adalah
dengan mendenda, adakah dengan mendenda ratusan ringgit atau ribuan
ringgit dapat mengubah sikap seseorang menjadi pemandu jalanraya yang
berdisplin?

Apa punca yang menyebabkan mereka menjadi begitu? Perkara ini patut
dikaji semula oleh pihak yang bertanggungjawab agar rakyat Malaysia
boleh jadi pemandu yang berdisplin dan berhemah suatu hari nanti
sekiranya ada satu mekanisme yang boleh membantu rakyat Malaysia dalam
hal yang berkaitan dengan displin di jalanraya.
Denda dengan ratusan ringgit sehingga ribuan ringgit hanya menguntung
sebelah pihak saja sedangkan yang akan jadi mangsa adalah rakyat
bawahan. Inilah salah satu punca mengapa rakyat menentang cara
perlaksanaan sistem (AES) bagi pesalah kecil.
Denda secara ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah kemalangan di
jalanraya tetapi perlu cari keadah yang terbaik dan berkesan untuk
mendidik rakyat Malaysia supaya berdisplin di jalanraya.
Kita mencadangkan kepada kerajaan atau kabinet boleh meluluskan suatu
undang-undang khidmat masyarakat bagi  pesalah kecil selama beberapa
jam atau hari sebagai alternatif kepada hukuman penjara atau denda.
Mungkin dengan cara ini mereka akan merasa lebih bertanggungjawab dan
dapat mendidik mereka supaya lebih berdisplin di jalanraya.
Tanpa mengira golongan kaya, berpangkat, dan golongan yang kurang
berkemampuan semua pihak yang melakukan kesalahan akan didenda dengan
cara memberi khidmat masyarakat mengikut jenis kesalahan kecil yang
mereka lakukan dan ini akan memberi pengajaran kepada mereka dari
hasil kerja khidmat masyarakat tersebut.

Kalau dibandingkan dengan denda yang ada sekarang bagi golongan kaya
atau yang berkemampuan sudah pasti masalah bayaran tidak akan menjadi
suatu bebanan kepada mereka tetapi bagi orang awam yang kurang
berkemampuan sudah pasti ini akan jadi masalah dan beban bagi mereka.
Kita mendesak agar pihak kerajaan mengkaji semula sistem denda yang
diamal sekarang kepada suatu sistem yang boleh mendidik dan
menyedarkan rakyat supaya lebih berdisplin dan bertanggungawab semasa
memandu di jalanraya.
Mungkin cadangan ini tidak mendatangkan hasil dan keuntungan kepada
sesuatu pihak tetapi sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan
perihatin dengan masalah rakyat mereka seharusnya mengutamakan
kebajikan rakyat dari pihak kapitalis yang lebih mengutamakan
keuntungan semata-mata.
Memang tidak dinafikan ada pro dan kontra dengan AES ini tetapi
sekiranya disalahgunakan sudah pasti rakyat yang akan menanggungnya.
Semoga pihak kerajaan dapat memikirkan semula sistem ini dengan
memberi keutamaan dan keselamatan rakyat dengan membuat satu perkara
yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat bukannya membebankan rakyat.

Jofri Jaraiee

01 November 2012

Majlis Perasmian Ekspo MAIK Sempena Ulangtahun ke 100 Penubuhan MAIK oleh KDYMM Sultan Muhammad V

   01 November 2012-KHAMIS
         
      Majlis Perasmian Ekspo MAIK telah berlangsung pada di Dewan Jubli Perak, Istana Negeri Kubang Kerian. Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V telah mengampuni perkenan untuk menyempurnakan majlis perasmian tersebut. Majlis dimulakan dengan titah ucapan aluan oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan merangkap Yang Dipertua MAIK dan seterusnya titah ucapan perasmian oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V.

 Majlis diteruskan dengan persembahan cenderamata kehadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V mengampuni perkenan untuk berangkat menyempurnakan majlis perasmian Ekspo MAIK 2012 sempena Sambutan Perayaan Ulangtahun Ke 100 MAIK dan melawat pameran diiringi oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan.

Info : MAIK

KELANTAN TV by Serambi Media Network

LIVE Sidang Dewan Rakyat

LIVE BOLASEPAK KELANTAN


Video streaming by UstreamHakcipta Terpelihara © 2013 Perbadanan Stadium Kelantan
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Serambi Media Network (Kelantan TV News). Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman