17 November 2012

Muktamar PAS ke-58 pecutan akhir PRU13 bermula di Kota Bharu

PAS negeri Kelantan sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah Muktamar PAS ke-58 yang akan diadakan mulai 2-4 Muharam 1434 (16-18 November 2012). Kebetulan muktamar kali ini diadakan agak lewat berikutan penangguhan dari yang sepatutnya pada Jun lalu. Penangguhan itu ada kaitannya dengan persiapan dan mood pilihan raya umum ke-13 (PRU13) sedang mempengaruhi gerak kerja PAS di semua peringkat. 
Apa pun, Muktamar PAS ke-58 kali adalah bertepatan dan sesuai diadakan di Kota Bharu, Kelantan kerana sekarang ini Kelantan sedang dalam kempen Tahun Melawat Kelantan 2012. Ia berlaku lagi seiringan dengan sambutan Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada 11 November lalu. Tambah diserikan lagi dengan bulan ini juga berlakunya sambutan awal Tahun Hijrah 1434 pada 14 November lalu. Malah muktamar kali ini juga cukup harmoni kepada para perwakilan yang mengambil kesempatan mengunjungi negeri Serambi Mekah bersempena musim cuti persekolahan ini.
Kesemua senario tersebut sudah tentu menggamit nilai-nilai kewajaan kepada semua perwakilan yang bakal menyumbang pandangan dan hujahan bernas sepanjang muktamar di Dewan Besar PUTIK, Pengkalan Chepa. 
Pecutan PRU13 menuju Putrajaya
Meskipun demikian, sepanjang minggu lalu pihak media pro-kerajaan Barisan Nasional begitu sibuk mencanang pelbagai isu yang berniat untuk mengatifkan perbahasan Muktamar PAS ke-58 ini. Kononnya ada beberapa pihak kalangan lebih 1,100 perwakilan PAS dari seluruh negara akan mengambil peluang untuk membangkit isu-isu yang mereka tidak puas hati terhadap pendirian parti. Media berkenaan cuba merendah-rendah pemikiran perwakilan, kononnya ada sebahagiannya (semacam kumpulan majoriti) tidak senang dengan pendirian DAP mengenai Islam dan hukum hudud. Malah ada juga media berkenaan yang cuba melaga-laga kalangan pimpinan utama PAS, satu pihak dicap sebagai pendukung Anwar (kononnya puak Anwarinas) ada pula yang anti-Anwar (kononnya puak PAS totok). Justeru media tersebut meramalkan akan berlaku ribut besar sepanjang muktamar nanti. Demikianlah mainan media yang sentiasa tidak senang dengan kestabilan PAS kini, terutama saat menjelang PRU13.
Walau bagaimanapun, pendirian PAS Pusat, malah setiap PAS kawasan seluruh negara, pastinya meletakkan Muktamar PAS ke-58 kali ini sebagai medan terbaik membina keyakinan dan kemantapan, demi pecutan ke garis kemenangan PRU13 menuju Putrajaya. Justeru fokus isu dan komitmen perwakilan tidaklah elok untuk terpengaruh dengan gendang dipalu musuh dan isu yang dihangatkan media pro-parti lawan.  Malahan tidak mustahak sama sekali bagi para perwakilan membelek-belek parut dan kudis dalaman sendiri ketika musuh sedang terkial-kial menahan sakit dan sengsara, tatkala tarikh PRU13 sedang diperjalanan. Rasionalnya, bulatkan tekad dan bangkitkan permuafakatan sejati atas nilai-nilai jemaah bagi membuahkan program dan pendekatan serta melancarkan strategi menggempur Umno dan Barisan Nasional di akar umbi.
Ia sesuai dengan senario muktamar di Kelantan, negeri sulung dan ulung PAS sudah berkuasa. Pastinya di sebalik nilai ‘sulung dan ulung’ itu para perwakilan seluruh Negara boleh menemukan banyak titik persefahaman bagi membulatkan tekad memacu kebangkitan dalam usaha merobohkan benteng Umno dan Barisan Nasional di negeri masing-masing.
Utamakan isu-isu PRU13
Berbekalkan tema muktamar ‘Negara Berkebajikan Teras Perpaduan’ sudah tentu banyak isu yang harus dikupas dan difahami oleh perwakilan guna untuk diperturunkan ke peringkat akar umbi era pecutan PRU13 ini. Isu adalah nadi dan gerak saraf mujarab bagi merapati rakyat dan meraih sokongan baru para pengundi. Lebih-lebih lagi saat PRU13 ini, bilangan pengundi muda, termasuk golongan pengundi pertama agak besar bilangannya. Sudah pasti olahan isu dan kupasan yang bernas akan dapat menghubungkan antara matlamat perjuangan PAS bersama Pakatan Rakyat dalam membina harapan baru untuk mengubah masa depan politik negara. Pengundi muda adalah aset termahal buat PRU13 ini. Justeru isu-isu yang berlegar dalam kelompok sosioekonomi mereka amat penting dibulatkan tekad para perwakilan untuk berbahas dan berhujah sepanjang muktamar.
Sehubungan itu, para perwakilan amat wajar membangkitkan selain isu-isu memperkemaskan gerak kerja dan persiapan pilihan raya ialah membangkit persoalan kepincangan dasar dan program ekonomi dan sosial serta integriti kerajaan Barisan Nasional Di antaranya yang terbaru sedang hangat adalah isu saman AES yang mencekik rakyat, saham FGVH yang sedang merundum, rasuah pemimpin Barisan Nasional, dan keceloparan pemimpin MCA yang menolak perlaksanaan Islam.

Tidak kurang penting juga ialah para perwakilan hendaklah turut menyeragamkan pendekatan berbahas untuk membalas segala serangan Umno dan Barisan Nasional secara positif. Ia boleh dilakukan menerusi penyelarasan isu-isu kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat. Olahannya hendaklah mampu menjawab segala tohmahan negatif Umno mahupun MCA tentang masa depan orang Melayu dan Islam.
Termasuklah juga pentingnya membangkit isu-isu politik diskriminasi (pihak Pusat) terhadap Negeri Pakatan Rakyat, sebagaimana isu tuntutan royalti petroleum negeri Kelantan,  kadar royalti petroleum yang rendah, isu empangan air Langat 2 di Selangor, isu pembayaran geran untuk negeri-negeri dan hak-hak negeri yang di kesampingkan seperti hak penyiaran radio dan televisyen.
Malah amat penting diselaraskan pendekatan menjawab isu tuduhan pihak Umno tentang DAP yang dikatakan anti-Islam, sedangkan kerajaan Pulau Pinang jelas memberi layanan yang lebih baik kepada pembangunan Islam selama 4 tahun kebelakangan ini. Kejayaan Ketua Menteri, Lim Guan Eng memeperuntukan lebih RM60 juta untuk hal ehwal Islam berbanding masa kerajaan Barisan Nasional hanya sekitar RM26 juta adalah suatu realiti yang membuktikan Pakatan Rakyat lebih adil untuk Islam di Pulau Pinang.
Demikian pula kesungguhan Kerajaan Kelantan dalam mendepani diskriminasi Pusat yang telah menafikan hak rakyat Kelantan menikmati pembinaan lebuh raya menyebabkan kerajaan negeri pimpinan Tuan  Guru Dato’ Nik Abdul Aziz melancarkan Lebuh Raya Rakyat tanpa tol. Ia telah memuncakkan sokongan rakyat tatkala pembangunan berkonsepkan wakaf telah dilancarkan.
Sementara itu, dalam beberapa isu yang dapat dikongsi sama antara PAS negeri-negeri, maka adalah wajar ia dapat dibincang dan disepakati dalam konteks penyampaian dan hujahan untuk diterima rakyat. Antara isu itu ialah persoalan gerakan Bersih dalam konteks pilihan raya yang adil, isu Lynas dalam konteks alam sekitar yang lestari, isu anak-anak peneroka Felda, dan tidak kurang penting adalah hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak. 

Kesemuanya adalah intisari dan rumusan strategik yang boleh dilakukan selama Muktamar PAS ke-58 di Kota Bharu kali ini. Justeru itu para perwakilan seharusnya tidak terpengaruh dengan provokasi media tertentu yang sengaja cuba mencetuskan suasana kelam kabut sepanjang perbahasan di muktamar kali ini.
 

Tiada ulasan:

KELANTAN TV by Serambi Media Network

LIVE Sidang Dewan Rakyat

LIVE BOLASEPAK KELANTAN


Video streaming by UstreamHakcipta Terpelihara © 2013 Perbadanan Stadium Kelantan
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Serambi Media Network (Kelantan TV News). Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman