07 April 2013

Rasuah: Bekas Timbalan Pengarah SKMM, Isteri Dipenjara Dan Didenda RM1.25 Juta


SHAH ALAM: Seorang bekas timbalan pengarah Bahagian Kandungan dan Penguatkuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta isterinya, masing-masing dihukum penjara lima dan empat tahun serta denda RM1.25 juta selepas didapati bersalah atas pertuduhan rasuah membabitkan nilai RM250,000 berkaitan projek makmal forensik digital di suruhanjaya itu.

Hakim Mahkamah Sesyen M.Bakri Abd Majid membuat keputusan itu selepas berpuas hati pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan terhadap Noor Mohamed Khan Mohamed Mastan, 40, dan Suraya Hani Ahmad Zaki, 33.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pasangan itu bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara namun memerintahkan mereka membayar denda.
Jika gagal berbuat demikian, Noor Mohamed Khan dan Suraya Hani berdepan hukuman penjara selama setahun.

Dalam penghakimannya, M.Bakri berkata mahkamah perlu menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas Noor Mohamed Khan kerana tertuduh didapati bertindak sebagai perancang selain melibatkan isteri dalam kesalahan itu.

Dia didakwa bersubahat dengan Suraya Hani, yang menerima suapan wang tunai RM250,000 daripada Ketua Pegawai Operasi Siaga Informatics Sdn Bhd Mohd Shukri Othman sebagai upah kononnya wanita itu telah membantu syarikat berkenaan memperoleh surat penganugerahan bagi tender untuk mereka bentuk, melaksana, menguji dan pentauliahan makmal forensik digital SKMM.

Noor Mohamed Khan, yang turut berdepan pertuduhan membantu Suraya Hani memperoleh tender berkenaan, didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Siaga Informatics Sdn Bhd di Jalan USJ 9/5T, Subang Business Centre pada kira-kira 10.25 pagi, 14 Mac 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 bergantung mana lebih tinggi. Suraya Hani, bekas pengurus akaun sebuah syarikat swasta, didakwa menerima suapan itu.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke memanggil 40 saksi sementara pembelaan, yang diwakili peguam Nasir Aziz, mengemukakan empat saksi.

BERNAMA

Tiada ulasan:

KELANTAN TV by Serambi Media Network

LIVE Sidang Dewan Rakyat

LIVE BOLASEPAK KELANTAN


Video streaming by UstreamHakcipta Terpelihara © 2013 Perbadanan Stadium Kelantan
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Serambi Media Network (Kelantan TV News). Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman