24 Jun 2013

25 ditahan dalam protes di hadapan parlimen




KUALA LUMPUR: 25 aktivis ditahan sehingga jam 12.00 tengah hari ini sewaktu mengadakan protes di hadapan pintu masuk Parlimen termasuk Safwan Anang, Ekhksan Bukhari serta Akram Ahmar.

Mereka kini dibawa ke IPD Dang Wangi.

Mereka adalah antara lebih 50 anak muda yang mengadakan protes di hadapan parlimen hari ini bagi mendesak pimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakan jawatan.

Ada di antara mereka berbaring di tepi jalan menuju ke pintu masuk bangunan parlimen sementara menunggu rakan-rakan mereka yang lain menyerahkan memrandum kepada ahli-ahli parlimen.

Mereka mula mengadakan protes ini kira kira jam 9 pagi.

Kumpulan ini terdiri dari gabungan NGO anak muda yang sejak kelmarin berkampung dalam khemah di Padang Merbok sejurus tamatnya Himpunan Aman Black 505.

Antara kumpulan itu termasuklah GM13, NGO Royalti, Asalkan Bukan Umno (ABU), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) antara yang terlibat dalam protes ini.

Antara tuntutan yang diminta oleh anak muda ini termasuk mendesak SPR diletakkan di bawah parlimen, menubuhkan suruhanjaya diraja menyiasat peranan SPR dan jabatan pendaftaran negara atas isu yang berbangkit pada PRU lalu.

Selain itu mereka turut menunut parlimen membincangkan tentang penipuan dakwat kekal dan perletakan jawatan dan permohon maaf secara terbuka oleh pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Sementara itu, kumpulan mereka yang berkumpul dihadapan pintu masuk bangunan parlimen dihalang oleh pihak polis apabila cuba untuk memasuki kawasan parlimen.

Sebelum ini, berlaku sedikit pergelutan antara beberapa anggota kumpulan itu dengan pihak polis.

Polis turut menahan tiga daripada mereka termasuk aktivis pelajar Safwan Anang, Ekhksan Bukhari serta Akram Ahmar.

HarakahDaily

Speaker Dewan Rakyat: Pandikar 133 undi, Abdul Kadir 89


KUALA LUMPUR: Sebagaimana keputusan Pilihan raya Umum ke-13 lalu, BN memenangi 133 kerusi parlimen, begitulah juga keputusan pengundian untuk memilih Yang Dipertua Dewan Rakyat, pagi ini.
Speaker sesi lalu, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memperolehi 133 undi anggota dewan sementara bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman mendapat 89 undi.

Bagi Timbalan Yang Dipertua, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee dipilih sekali lagi di samping Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said.

Aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat bermula dengan proklamasi memanggil parlimen bermesyuarat, diikuti memilih Yang Dipertua dan seterusnya beliau mengangkat sumpah.

Selepas itu, ahli-ahli dewan mengangkat sumpah, diikuti memilih dua timbalan yang dipertua.

Satu usul dikemukakan oleh Menteri Dalam Negeri memerintah Ketua Polis Negara memberi kemudahan lalu lalang kepada ahli-ahli dewan seperti berikut: “Bahawa Majlis ini memerintahkan Ketua Polis Negara menjaga supaya selama Penggal Dewan Rakyat yang ada sekarang, jalan-jalan melalui lorong-lorong menuju ke Dewan ini hendaklah sentiasa terbuka dan boleh dilalui dan jangan ada apa-apa halangan menghalang ahli-ahli hendak pergi dan balik dari Dewan ini, jangan berlaku apa-apa kacau-bilau di jalan-jalan menuju ke Dewan ini, dan supaya jangan ada huru-hara di Bangunan Dewan ini dan berhampiran dengan bangunan ini, dan Setiausaha Dewan Rakyat hendaklah menyampaikan perintah ini kepada Ketua Polis Negara yang tersebut itu”.

HarakahDaily

Jerebu: Pemuda PAS diarah solat minta hujan


KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan mengarahkan semua Pemuda PAS negeri dan kawasan yang mengalami Indeks Pencemaran Udara akibat jerebu yang semakin buruk mengadakan solat minta hujan (istisqa’).

“Semoga jerebu dapat dikawal dengan baik dan tidak menimbulkan musibah yang merosakkan kesihatan awam,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel dalam satu kenyataan petang ini memaklumkan semua sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur ditutup esok berikutan kualiti udara yang semakin buruk akibat jerebu.

Katanya, situasi jerebu semakin teruk pada 5 petang dan sekolah diarah tutup sebagai langkah berjaga-jaga kerana kualiti udara yang buruk akan memberi kesan terhadap kesihatan pelajar.

PAS Kelantan gesa polis segera bebaskan Husam



KOTA BHARU: PAS Kelantan memohon polis membebaskan segera Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Pada masa yang sama pihak polis juga perlu menggungurkan sebarang dakwaan ke atasnya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, ketika menghubungi Harakahdaily berkata pihaknya akan menyediakan panel peguam terbaik untuk membela Husam.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kelantan berkata demikian sebagai reaksi awalnya berhubung penangkapan Husam semalam mengikut Seksyen  4 (1) Akta Hasutan  di Desa Pandan.

Husam seterusnya  dibawa ke Balai Polis Ampang sebelum di bawa ke IPD Kota Bharu Pengkalan Chepa.

“Saya memohon pihak polis membebaskan Datuk Husam dan pada masa yang sama mereka juga perlu menggugurkan sebarang dakwaan ke atasnya,”ujarnya.

Husam tiba di IPD Kota Bharu Pengkalan Chepa kira-kira jam 1.30 pagi tadi dengan diiringi tidak kurang dari 13 buah kenderaan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub, cuba untuk bertemu dengan Husam, bagaimanapun ianya tidak dibenarkan.

Turut bersamanya, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman.

Turut menyatakan rasa simpati Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Malam tadi turut berhimpun memberi sokongan moral kepada Husam bersama rakyat selain isteri dan anggota keluarga terdekat, Adun Kelaboran Mohd Zaki Ibrahim.

Hadir sama Adun Demit Ustaz Abdul Rahman Yunus dan Adun Kota Lama, Datuk Anuar Tan Abdullah.

Abdul Rahman ketika berucap pada perhimpunan itu menyeru rakyat seluruhnya bersabar dengan insiden yang menimpa Husam.

“Namun yang lebih penting kita menunaikan solat sunat hajat agar Allah permudahkan urusan kita dan memberi keselamatan pada Datuk Husam dan keluarga agar sentiasa selamat,”ujarnya.

HarakahDaily

23 Jun 2013

Husam direman 2 hari, polis halang MB lawat


      
KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa direman selama dua hari selepas ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan di Kuala Lumpur petang semalam.

Majistret Nik Ambri Mohamad membuat keputusan itu pada permohonan reman dikemukakan polis di lokap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu hari ini.

Peguam Hisham Fauzi yang mewakili Husam berkata, pada awalnya pihak polis memohon tahanan reman sehingga empat hari.

“Namun kami pasukan peguam membantah dengan alasan Husam ditahan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, di mana akta itu mensyarat sama ada perkataan yang diucap termasuk dalam kategori menghasut atau tidak.

“Lagi pun polis sudah mendapat rakaman ucapan dan boleh buat keputusan sama ada menghasut atau tidak. Kalau menghasut polis boleh buat pertuduhan di mahkamah dan jika tidak hendaklah bebaskan segera,” katanya kepada pemberita di luar IPD.

Hisham bersama empat lagi peguam mengendalikan kes tersebut bagi pihak Husam yang juga Adun Salor.

Menurutnya tidak timbul keperluan polis menahan lebih lama Husam dan tidak memerlukan kehadirannya lebih lama di lokap IPD.

Malah keterangan saksi-saksi lain yang diperlukan boleh dilakukan tanpa perlu Husam berada di lokap.

“Tidak perlu menahan lebih lama. Mahkamah arah bebas esok sebelum jam 12 malam,” ujarnya.

Menurutnya juga permohonan reman dibuat polis kepada mahkamah negeri Kelantan bagi mengadakan mahkamah tertutup di IPD.

Sedangkan kata Hisham, Naib Presiden PAS itu bersedia untuk hadir ke mahkamah bagi permohonan reman tersebut.

“Sepatutnya didengarkan di mahkamah majistret. Kalau polis hendak sambung reman mereka kena buat permohonan lagi kepada mahkamah.

“Jadi siasatan perlu diselesaikan hari ini dan esok. Malam ini Husam akan bermalam di lokap,” katanya.

Hisham yang juga Pengerusi Lajnah Guaman dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan turut melahirkan rasa kesal terhadap polis Kelantan kerana tidak membenarkan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob datang melawat Husam di IPD.

Menurutnya, polis perlu sedar Husam merupakan Naib Presiden PAS dan seorang Yang Berhormat mewakili rakyat Kelantan dan bukannya rakyat biasa.

“Sepatutnya polis benarkan MB datang menziarahi Husam di lokap IPD. Kami peguam meluah rasa kesal kerna polis enggan membenarkan MB atau mana-mana Exco menziarahi Husam di lokap, tanpa sebarang alasan.

“Kami amat kesali. Sepatutnya tidak dilakukan polis. Ini menggambarkan mereka tidak menghormati kerajaan dan rakyat negeri Kelantan.

“Saya berharap polis segera mengubah keputusan itu dan membenarkan MB hadir menziarahi Husam. Negeri ini ada ketua dan sepatutnya MB dibenarkan menziarahi mana-mana Adun yang ditahan,” ujarnya.

Kata beliau polis bersikap tidak profesional dan memberi imej yang buruk dalam sebuah negara demokrasi.

HarakahDaily

TG Nik Aziz minta Husam, keluarga bersabar

3
KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berharap Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan anggota keluarga bersabar dengan ujian yang dihadapinya hari ini.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika dihubungi sebentar tadi sebagai mengulas perkembangan terkini Adun Salor itu.

“Saya harap Datuk Husam dan keluarga bersabar,” ujarnya ringkas awal malam ini setelah dimaklumkan kepadanya berhubung penahanan Husam hari ini.

Tengah hari tadi Tuan Guru menghubungi wartawan Harakahdaily, Rizal Tahir supaya memaklumkan perjalanan himpunan aman Black 505 kepadanya.

Sementara itu, Husam pula ketika memaklumkan kepada Harakahdaily kira-kira jam 7.00 malam tadi memberitahu berada di Bentong, Pahang dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk ke IPD Kota Bharu dengan diiringi kenderaan polis.

Beliau ditahan tengah hari tadi mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan di Desa Pandan dan dibawa ke Balai Polis Ampang.

Ia dipercayai ada kaitan dengan kenyataannya mengenai ‘syahid fi sabilillah’ berhubung penyertaan pada himpunan aman Black 505 di Padang Merbok, Kuala Lumpur hari ini.

Kawalan ketat, keluarga tidak dibenar jumpa Husam

3

Isteri dan keluarga terdekat beserta orang ramai menunggu ketibaan Husam di IPD Pengkalan Chepa, malam tadi.

KOTA BHARU: Kawalan ketat di pekarangan Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu, tempat Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa ditahan.

Orang ramai tidak dibenarkan berada di kawasan IPD kecuali wartawan dan peguam.

Ramai anggota polis berkawal termasuk pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Hanya dua peguam sahaja dibenarkan masuk ke kawasan IPD iaitu Abdul Rashid Yah bersama seorang peguam.

Selain itu kelihatan isteri Husam, Datin Rohana Ab Rahman kelihatan memasuki IPD.

Difaham Husam sampai dari Kuala Lumpur jam 1.30 am pagi tadi. Isteri beliau yang berada di IPD sehingga jam 10.50 pagi ini tidak dibenarkan bertemu, termasuk anggota keluarga terdekat.

Difahamkan juga sepatutnya pagi ini Husam dibawa ke mahkamah majistret untuk mendapat perintah tahanan reman namun majistret pula dibawa ke IPD.

Pagi tadi ramai datang ke mahkamah bagi mengikuti kes berkenaan namun pulang hampa.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman menyifatkan apa yang berlaku terhadap Husam cukup luar biasa kerana keluarganya tadi tidak dibenarkan menemuinya.

Kes Husam: Juham kecam tindakan niat jahat PDRM


KUALA LUMPUR: Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia menyelar proses penahanan  Naid Presiden PAS, Datuk Husam Musa semalam di bawah Akta Hasutan yang dilihat dilakukan secara mala fide (niat jahat) oleh PDRM.

Ekoran penahahan tersebut, sekitar jam 3.45 petang, pihak Juham telah bergegas dan mengambil tindakan segera menghantar pasukan peguam ke IPD Ampang bagi mewakili/membantu Husam dalam proses siasatan oleh PDRM.

Malangnya, kata Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi pihak peguam tidak sama sekali dibenarkan berjumpa Husam dan ini seterusnya menafikan hak beliau untuk berjumpa peguamnya.

Lebih teruk, katanya pada jam 6.00 petang, pihak peguam dimaklumkan bahawa Husam telah dibawa ke IPD Kota Baharu bagi tujuan siasatan lanjut tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada peguam yang menantinya di luar IPD Ampang.

“Mengapakah Husam tidak ditahan di Kota Baharu, jika PDRM mendakwa bahawa laporan polis terhadap beliau di bawah seksyen 4(1) Akta Hasutan telah dibuat di  Kota Bharu?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, Juham melihat penahanan itu mempunyai kaitan dengan penglibatan Husam dalam perhimpunan 505 yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam.

“Juham menegaskan bahawa tindakan PDRM dalam perkara ini adalah berniat jahat (mala fide) dimana telah menafikan hak Husam berjumpa peguamnya.

“Tindakan ini diselar oleh pihak Juham dan ini menjustifikasikan pelanggaran pihak PDRM kepada peruntukkan undang-undang di bawah Kanun Prosedur Jenayah,” tegasnya.

Beliau menambah, tiindakan PDRM dilihat sebagai tindakan yang ‘bacul’ dan bersifat menyusahkan Husam dan pihak peguam.

Katanya, jika dilihat kepada tangkapan PDRM terhadap Datuk Tamrin dan Tian Chua sebelum ini di bawah Akta Hasutan, pihak Juham dibenarkan  berjumpa anak guam sejurus tangkapan dilakukan.

“Mengapa dalam kes Husam ini, tindakan sebaliknya dilakukan PDRM dan ini memperlihatkan PDRM sebagai tidak professioanl dan membelakangi undang-undang sedia ada,” ujarnya lagi.

Justeru, tegasnya pihak Juham menuntut pihak Ketua Polis Negara memberikan penjelasan yang konkrit berhubung tindakan anak buahnya yang dilihat sangat menjelekkan dan mencemarkan nama baik PDRM yang sedia diragui dan dipertikaikan.

“Pihak Juham tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan Semakan Kehakiman (Judicial Review) berhubung perkara ini,” tegasnya lagi.

HarakahDaily

19 Jun 2013

Kelantan bina jaringan pelaburan Islamik


KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan meningkatkan usaha misi pelaburan dengan matlamat membina jaringan pelaburan Islamik khususnya di Timur Tengah sebagai keutamaan.

Ianya selaras dengan harapan Sultan Muhammad V yang berharap Kelantan mempergiatkan usaha menarik pelabur.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, berkata di samping mengukuhkan hubungan Jaringan Perdagangan Islam di sebelah timur, termasuk Persatuan Pedagang Muslim di Tanah Besar China, Hong Kong dan Taiwan.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada sidang Dun Kelantan petang ini.

Tegasnya, kerajaan negeri juga berhasrat membina rangkaian makanan halal dengan meningkatkan kemasukan pelabur di halal hub dan akan bekerjasama dengan pembekal makanan halal daripada negara Arab.

“Saya sendiri akan menerokai peluang bertemu pelabur Arabian Countries ini selari dengan hasrat perancangan kerajaan negeri untuk menubuhkan Sekretariat Hubungan Kelantan-Arabian Countries.

“Menerusi kerjasama ini juga akan menarik kepakaran dalam industri pendidikan, minyak, gas serta pelancongan Islam,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, hubungan dagang itu diharap dapat dipermudahkan memandangkan beberapa orang Adun dan bekas Adun mempunyai pakar dalam hubungan dengan negara Arab.

Pada masa yang sama, Ahmad turut mendedahkan sektor pelancongan dilihat berpotensi sehingga pengusaha di negeri itu berjaya meraih RM1.8 billion bagi pengusaha berkaitan pelancongan.

Jelasnya, ia hasil kejayaan urus tadbir Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berteraskan Membangun Bersama Islam.

Selain kejayaan lain, katanya Kelantan juga turut wujud persekitaran sejahtera yang menarik minat pusat pendidikan di negeri itu.

“Selain beberapa IPTA, kita ada IPTS dan ada yang bertaraf antarabangsa seperti Universiti Lim Kok Wing,” ujarnya.

Hari ini adalah hari terakhir sidang Dun Kelantan setelah berlangsung selama tiga hari bermula Ahad lalu.

Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dun Kelantan ke-13 tahun ini disempurnakan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Pengguna rayu tambang bas tidak dinaikkan


KUALA LUMPUR: Rata-rata pengguna tidak bersetuju dan melahirkan kebimbangan dengan cadangan Persatuan Penguasa Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) untuk menaikkan tambang bas ekspres sebanyak 30 peratus.

Tinjauan Harakahdaily di Hentian Bas Greenwood, Gombak mendapati, mereka kebanyakan mereka berpendapat tindakan itu memberi bebanan teruk kepada mereka khususnya bagi yang selalu menggunakan perkhidmatan bas.

Menurut seorang pengguna Zainal Ahmad Yusof, cadangan kenaikkan tambang tersebut adalah tidak wajar kerana masyarakat kini sudah pun terbeban dengan pelbagai kenaikan.

"Saya melihat kenaikkan tambang ini amat mengejutkan serta membebankan kepada pengguna.

"30 peratus bukan satu angka yang kecil rakyat tidak mampu, sepatutnya persatuan bas tumpukan kepada keselesaan pengguna dan faktor keselamatan penumpang bukannya untuk meraih keuntungan semata-mata," katanya.

Yulianis Ibrahim pula yang akan ke Kota Bharu pagi ini merasa terkejut dengan cadangan tersebut dan berharap ia tidak dilaksanakan.

"Saya tidak mengetahui langsung cadangan tersebut, kalau sebelum ini saya hanya perlu membayar lebih kurang RM40 untuk ke Kota Bharu sahaja.

"Tetapi dengan cadangan tersebut saya mungkin terpaksa mengeluarkan RM50, memang terlalu berat untuk saya, kerajaan perlu perihatin dengan masalah serta beban rakyat di bawah," jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Abdullah Awang Ahmad pula mendesak agar kerajaan mengekalkan had sedia ada.

Katanya lagi, rakyat sekarang bukannya mempunyai pendapatan yang tetap dan kebanyakkan mereka tidak mempunyai kenderaan sendiri terutama kalangan pelajar.

Tindakan ini ujarnya memberi kesan yang teruk dalam soal kehidupan mereka.

"Saya desak harga tersebut dikekalkan sepertimana hari ini, kenaikkan ini meningkatkan beban rakyat.

"Dengan keadaan ekonomi sekarang masih ramai rakyat yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan kebanyakkan mereka memerlukan perkhidmatan bas untuk ke sesuatu tempat kerana tidak mampu membeli kereta sendiri.

"Yang paling terkesan adalah pelajar-pelajar yang menjadikan bas sebagai pengangkutan mereka untuk balik ke kampung, bebanan yang teruk terpaksa mereka tanggung," jelas beliau.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menegaskan kerajaan perlu bertegas dan tidak tunduk kepada desakan PMBOA yang mahu menaikkan tambang bas.

Beliau memberitahu rakyat perlu dibela serta dijaga kebajikan mereka bukannya dibebani dengan kenaikkan harga.

"Kita dalam Pakatan Rakyat akan memansuhkan tol, menurunkan harga minyak serta hapus PTPTN bagi mengurangkan beban rakyat jika diberikan mandat sebelum ini.

"Tapi perkara itu tidak berlaku apabila Barisan Nasional (BN) menang pada pilihanraya lepas, jadi sebagai sebuah kerajaan yang kata perihatin kepada rakyat perlu bertegas serta tidak tunduk kepada desakan PMBOA yang mahukan kenaikkan tambang," jelasnya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Pusat turut menyatakan, isu sekarang bukan pada kenaikkan 30 peratus tambang tetapi dalam keadaan ekonomi sekarang tidak wajar berlaku sebarang kenaikkan tambang ataupun harga barang keperluan.

HarakahDaily

DUN K'tan lulus usul penghargaan kepimpinan Nik Aziz

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini merakamkan ucapan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memegang jawatan itu selama 23 tahun.
  
Usul berkenaan dicadangkan Azami Mohd Noor (PAS-Kadok) sebelum dewan membuat penggulungan perbahasan yang kemudiannya mendapat persetujuan kesemua anggota dewan berkenaan.
  
Nik Abdul Aziz (PAS-Chempaka) yang merupakan Mursyidul Am PAS memegang jawatan menteri besar sejak PAS memerintah pada 1990 sebelum menyerahkannya kepada timbalannya Datuk Ahmad Ya'kub selepas parti itu menang pada pilihan raya umum lalu.
  
Sebelum itu, ketika menyokong usul berkenaan, seorang penyokong kerajaan negeri, Mohd Zaki Ibrahim (PAS-Kelaboran) sekali lagi membuat tuduhan liar terhadap Barisan Nasional (BN) yang kononnya gagal menerapkan nilai Islam di negara ini berbanding apa yang telah dilakukan kerajaan Kelantan pimpinan PAS.
  
Mohd Zaki mendakwa disebabkan kerajaan negeri mengharamkan unsur perjudian, penduduk terutama di Gua Musang telah ke negeri lain untuk berjudi.

"Saya mendapat maklumat penduduk Gua Musang telah pergi ke Ipoh (Perak) dan Kuala Lumpur untuk pergi berjudi," katanya.
  
Dakwaan Mohd Zaki itu kemudiannya dibantah Mat Yusuff Abdul Ghani (BN-Nenggiri) yang bangun meminta penyokong kerajaan itu memberikan bukti jika benar penduduk Gua Musang telah pergi berjudi ke negeri berkenaan.
  
"Saya minta Kelaboran memberikan bukti terhadap perkara itu apakah benar penduduk Gua Musang telah pergi berjudi ini," katanya.

Mohd Zaki bagaimanapun gagal memberikan penjelasan terperinci walaupun mendakwa mempunyai bukti.

- Bernama

Tiada lagi nyanyian lantang

RANTAU PANJANG – “Tiada lagi suara lantang akan kedengaran ketika menyanyikan lagu Negaraku selepas ini,” kata Dzukiman Yusoff, guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Rahmat, semalam.

Kematian Muhammad Zulhilmi Aziz, 7, yang lemas di Sungai Golok, berhampiran Kampung Rahmat benar-benar dirasai kerana suaranya sering mendahului rakan lain setiap kali perhimpunan pagi.

Suara lantang atasi rakan

Dzukiman berkata, kelantangan suara arwah menyebabkan guru-guru mengenalinya, walaupun tidak mengajarnya.

Menurutnya, arwah seorang pemalu, tetapi agak yakin setiap kali menyanyikan lagu kebangsaan.

“Arwah tidak kisah walaupun dia silap menyanyi, dia tetap akan meneruskan nyanyiannya.

“Suaranya sering kali mengatasi suara murid lain, setiap kali menyanyi,” katanya ketika ditemui di sekolah itu tengah hari semalam.

Perkara ini turut diakui guru besar sekolah itu, Korma Bakar yang turut mengenali arwah kerana kelantangan suara ketika menyanyikan lagu Negaraku.

Suka bercerita kisah adik

Sementara itu, Sinar Harian sempat merakamkan keadaan di bilik darjahnya.

Tempatnya yang bersebelahan tempat duduk sepupunya, di belakang kelas kosong.

SINARHARIAN

Tunjong sumbangan RM25,000 untuk lebuh raya

3
KOTA BHARU: Sebagai tanda sokongan padu kepada Menteri Besar Kelantan yang baru, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan pembinaan Lebuh raya Rakyat, Tunjong Development Corporation (TDC) Sdn Bhd telah menyumbang sejumlah RM25,000 untuk menjayakan hasrat itu.
Sumbangan berkenaan diserahkan oleh Pengurus Besar TDC, Nazri Deraman kepada Ustaz Ahmad, selepas persidangan Dun Kelantan berehat seketika di luar Bilik Gerakan Negeri.

Nazri ketika ditemui memberitahu, pihaknya bersedia memberikan sumbangan itu bukan hanya sekadar tanda sokongan kepada pembinaan lebuh raya itu sebaliknya memenuhi impian rakyat Kelantan.

“Rakyat Kelantan khususnya anak Kelantan di perantauan begitu mengharapkan lebuh raya yang sempurna untuk memudahkan mereka pulang ke kampung masing-masing khususnya musim cuti perayaan,” ujarnya.

TDC merupakan anak syarikat milik penuh kerajaan negeri di bawah Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

KELANTAN TV by Serambi Media Network

LIVE Sidang Dewan Rakyat

LIVE BOLASEPAK KELANTAN


Video streaming by UstreamHakcipta Terpelihara © 2013 Perbadanan Stadium Kelantan
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Serambi Media Network (Kelantan TV News). Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman