24 Mac 2014

MH370:Laporan Layanan Buruk Polis Tidak Benar - Ibu Warga China

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Warga China Liu Guiqui, ibu kepada Li Le, penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas, menyangkal laporan kononnya beliau dilayan buruk oleh polis semasa sidang akhbar yang diadakan pada 19 Mac di Hotel Sama-Sama Sepang.

Liu dalam temu bual dengan China Central Television (CCTV), berkata beliau membuat keputusan pergi ke sidang akhbar itu, kerana beliau mahu bertanyakan ahli politik Malaysia mengenai apa yang sebenarnya berlaku terhadap anak lelaki beliau, yang ketika itu telah hilang selama 12 hari, kerana beliau tidak faham kenapa tiada sebarang berita yang diterimanya.

"Itu tidak benar. Saya dikerumuni oleh pemberita. Ada seorang anggota polis muda yang pada mulanya saya ingatkan mahu menarik saya.

"Pada mulanya saya tidak faham apa yang berlaku tetapi seseorang memberitahu saya jangan panik. Mereka meyakinkan saya, mereka berada di situ untuk melindungi saya," kata Liu.

Liu terbang ke Kuala Lumpur kerana beliau mahu menjadi orang yang pertama menyambut Li bila anaknya itu kembali. Beliau menyifatkan Le yang mempunyai seorang anak perempuan, sebagai orang yang murah hati, baik, setia dan melayani semua orang dengan perasaan hormat.

Ditanya mengenai cakap-cakap kononnya kerajaan Malaysia tidak mendedahkan semua maklumat, Liu berkata beliau tidak peduli semua itu kerana apa yang beliau mahukan semata-mata anaknya dan semua penumpang dalam kapal terbang itu kembali dengan selamat.

Malah beliau berterima kasih dengan kerajaan dan rakyat Malaysia kerana menjaganya setiap hari dan beliau tidak percaya kepada mereka yang mendakwa kerajaan tidak mengambil berat tentang keluarga penumpang pesawat itu.

"Saya tidak percaya perkara itu berlaku. Saya percaya mereka juga amat tertekan. Saya faham bahawa mereka kini sibuk mencari pesawat yang hilang itu.

"Oleh itu memang patutlah mereka (kerajaan) tidak dapat memberikan perhatian sepenuhnya kepada keluarga yang terlibat," kata Liu.

Bila ditanya apa yang akan dikatakan kepada anak lelakinya jika dia boleh mendengar ibunya, Liu menangis sambil berkata: "Ibu menunggu kamu. Pulanglah segera. Ibu percaya kamu akan pulang dengan selamat."

Liu juga menunjukkan tanda penghargaannya dan mengucapkan terima kasih kepada semua negara yang turut berusaha mencari pesawat itu.

"Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana berusaha mencari keluarga kami," katanya penuh perasaan sambil duduk melutut.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

KELANTAN TV by Serambi Media Network

LIVE Sidang Dewan Rakyat

LIVE BOLASEPAK KELANTAN


Video streaming by UstreamHakcipta Terpelihara © 2013 Perbadanan Stadium Kelantan
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Serambi Media Network (Kelantan TV News). Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman